Bab 1
MANHATTAN, NEW YORK
20:05
Malam.
“THIS is your last assignment...” Kata
lelaki itu dengan nada tegas.
Suaranya yang garau menusuk ke telinga Kharlissa. Dia
menggigit bibirnya dengan kuat. Memang sudah demikian lama dia menanti dirinya
bebas daripada organisasi itu. Dia mahu pulang! Pulang ke tempat asalnya.
Walaupun tanpa sebarang pekerjaan. Dia tidak memerlukan pekerjaan ini lagi...
Tidak! Tugasan terakhir yang harus dia laksanakan dengan sebaik-baiknya.
“Then I will be free?”
“Yes, free as a bird.”
Lelaki di hujung talian tertawa.
Tawa yang garau jua. Namun tawanya dengan cepat sekali
hilang. Dia menyambung kata-kata yang terputus.
“Someone will bring
the information for you. Maybe now he was at your door.”
Serentak dengan itu, Kharlissa mendengar bunyi loceng pintu.
“Okey, I got it!”
Jawab Kharlissa sambil menutup panggilan.
Dia bergegas menghala ke pintu. Daun pintu apartment
kecilnya yang terletak di tengah-tengah kota Manhattan itu ditarik dengan
rakus. Di luar dia tidak melihat sesiapa. Dia menunduk dan mendapati sebuah
envelop besar berwarna colat gelap terdampar di hujung kaki. Dia membongkok,
mengambil envelop itu dengan rakus. Kemudian menutup pintu secepatnya.
Kharlissa meletakkan envelop itu di atas meja. Dia tidak
akan membukanya dengan segera. Buat seketika dia hanya memerhati ke seluruh
ruang apartment kecil yang didiaminya sendirian sejak lima tahun yang lalu.
Setiap perabot yang ada di situ sudah semakin dimakan usia. Lima tahun lalu
sofa merah itu masih baru. Cantik dan mengujakan. Tetapi akhirnya sofa merah
tua itu semakin memudar. Begitu juga dengan meja kopi yang tercalar di
permukaannya. Namun Kharlissa sudah tidak peduli! Dia tidak akan menukar
perabot yang baru! Dia akan meninggalkan tempat itu... Selama-lamanya.
Perlahan-lahan Kharlissa bergerak ke arah meja kopi. Envelop
coklat gelap itu dicapai. Hujung envelop itu dikoyakkannya dengan cermat. Dia
menarik beberapa keping gambar yang disertakan di dalam sampul surat itu.
Kharlissa merenung gambar-gambar itu tanpa sebarang perasaan. Raut wajah lelaki
itu tidak dikenalinya. Dia tidak pernah melihatnya seumur hidup. Ini adalah
kali pertama dia melihatnya.
Di dalam sampul surat itu terdapat sedikit maklumat tentang
lelaki itu. Berusia lima puluh dua tahun, mempunyai aset yang berharga,
syarikat, rumah dan kereta mewah. Agak kacak walaupun kepalanya sedikit botak.
Mempunyai isteri tetapi tidak punya anak. Isterinya, Puan Martin berusia
pertengahan empat puluhan. Namun tidak terdapat gambar isteri lelaki itu. Tidak
mengapa. Tidak penting untuk kenal dengan pasangan lelaki itu. Lelaki yang akan
menemui kematian.
“Tak ada masalah,” Kharlissa berbisik pada dirinya sendiri.
“Kau adalah target yang mudah,” Dia berkata lagi seorang
diri kemudian tersenyum. Senyumannya manis menggoda. Dua ulas bibirnya basah
dan seksi, sentiasa dipaliti lipstik
merah darah.
Gambar dan maklumat itu segera dimasukkannya ke dalam sampul
surat. Kemudian dia menyimpan sampul surat itu di dalam laci yang berkunci.
Kharlissa segera bergerak masuk ke dalam bilik tidur, menukar pakaian. Sepasang
seluar kulit hitam yang ketat dan berkilat disarungkan ke tubuh yang lampai.
Jaket kulit hitam dizip hingga menutup pangkal leher.
Tugasan terakhirnya akan bermula. Dia tidak akan menunggu
lama untuk melaksanakannya. Dia yakin pada keupayaan diri. Dia seorang wanita
muda yang kuat dan tangkas. Dia hot, seksi tetapi merbahaya.
Kharlissa berdiri di cermin sambil merenung wajahnya yang
bersolek cantik. Wajahnya sungguh menawan, wajah seorang wanita Asia. Bagi
masyarakat di sini selalu menyangka dia berbangsa Cina ataupun Korea.
Lebih-lebih lagi dia fasih berbahasa Kantonis, Korea, Inggeris
dan
Sepanyol. Walau bagaimana pun dia juga bukan Melayu tulen. Ada darah campuran
di tubuhnya. Darah seorang lelaki keturunan Jepun dan seorang wanita Melayu.
Lelaki yang dia sendiri tidak pernah kenal! Lelaki yang meninggalkan ibunya
hidup dalam penderitaan. Lelaki yang membuat ibunya hampir-hampir jadi gila.
Dia benci lelaki. Lelaki hanya pandai menghadiahkan
penderitaan. Tapi sampai bilakah dia harus membendung rasa benci ini? Dia
sendiri tidak tahu. Terkadang tumbuh jua keinginan di hati. Dia ingin hidup normal. Bolehkah dia hidup
seperti seorang wanita biasa?
Sejak kebelakangan ini soalan itu sering menghambatnya.
Kharlissa terus memaling wajahnya yang indah kala terasa ada
sebutir titisan airmata jernih mengisi sudut mata. Hatinya jadi hampa dan sedih
setiap kali mengingati kenangan silam. Tidak! Lupakan saja! Bisik hatinya
berulang kali. Apa guna diingat segala kisah yang sudah menjadi sejarah.
Dia memandang ke arah tilam beralas comforter. Di situ
terletak aman segala peralatan yang bakal dia gunakan. Tangannya bagaikan tidak
sabar untuk menggenggam senjata yang menjadi teman karibnya sejak beberapa
tahun lampau. Sejak dia diajar dan dilatih oleh Organisasi Maxy menjadi seorang
pembunuh upahan!
Kharlissa pernah mendengar orang berkata, pekerjaan tertua
di dunia adalah pelacuran. Tetapi Kharlissa tidak pernah melakukannya walaupun
sekali. Dia masih unggul. Mungkin menjadi pembunuh upahan pekerjaan kedua
tertua di dunia, fikir Kharlissa lagi. Sejak manusia lahir, mereka sudah tahu
untuk saling memusnahkan demi kepentingan diri sendiri.
Lihat sahaja kisah Habil dan Qabil.
Seumur hidup Kharlissa, dia tidak pernah percaya kepada
lelaki! Justeru itu Kharlissa tidak pernah punya teman lelaki, tidak punya
saudara dan tidak punya ayah. Dan Kharlissa hanya kenal lelaki seperti Maxy.
Dia adalah satu-satunya contoh seorang lelaki yang Kharlissa kenal dengan agak
dekat. Maxy hanya memikirkan wang setiap saat.
Kharlissa juga tidak punya teman wanita. Wanita yang
Kharlissa kenal hanya ibunya yang sudah dua puluh tahun meninggalkannya.
Kharlissa terlontar seorang diri di tengah-tengah kota raya ini. Dan dia telah
membuat keputusan untuk kembali ke tanah kelahiran ibunya. Dia harus mencari si
ibu kandung... Dia mesti mencari wanita itu! Ada perhitungan yang belum selesai
antara mereka! Dan Kharlissa ingin sekali bertanya kepada ibunya, kenapa dan
mengapa dia ditinggalkan sendirian untuk mengharungi hidup? Ibu jenis apakah
dia?
Mungkin jenis yang tidak sayang pada darah daging sendiri.
Jenis manusia berhati kejam dan jahat, bisik hati Kharlissa sambil mencapai
pistolnya. Dia memeriksa peluru yang ada di dalamnya. Ianya diisi penuh. Sedia
untuk digunakan.
No comments:
Post a Comment