Bab 1
MANHATTAN, NEW YORK
20:05
Malam.
“THIS is your last assignment...” Kata
lelaki itu dengan nada tegas.
Suaranya yang garau menusuk ke telinga Kharlissa. Dia
menggigit bibirnya dengan kuat. Memang sudah demikian lama dia menanti dirinya
bebas daripada organisasi itu. Dia mahu pulang! Pulang ke tempat asalnya.
Walaupun tanpa sebarang pekerjaan. Dia tidak memerlukan pekerjaan ini lagi...
Tidak! Tugasan terakhir yang harus dia laksanakan dengan sebaik-baiknya.
“Then I will be free?”
“Yes, free as a bird.”
Lelaki di hujung talian tertawa.
Tawa yang garau jua. Namun tawanya dengan cepat sekali
hilang. Dia menyambung kata-kata yang terputus.
“Someone will bring
the information for you. Maybe now he was at your door.”
Serentak dengan itu, Kharlissa mendengar bunyi loceng pintu.
“Okey, I got it!”
Jawab Kharlissa sambil menutup panggilan.
Dia bergegas menghala ke pintu. Daun pintu apartment
kecilnya yang terletak di tengah-tengah kota Manhattan itu ditarik dengan
rakus. Di luar dia tidak melihat sesiapa. Dia menunduk dan mendapati sebuah
envelop besar berwarna colat gelap terdampar di hujung kaki. Dia membongkok,
mengambil envelop itu dengan rakus. Kemudian menutup pintu secepatnya.
Kharlissa meletakkan envelop itu di atas meja. Dia tidak
akan membukanya dengan segera. Buat seketika dia hanya memerhati ke seluruh
ruang apartment kecil yang didiaminya sendirian sejak lima tahun yang lalu.
Setiap perabot yang ada di situ sudah semakin dimakan usia. Lima tahun lalu
sofa merah itu masih baru. Cantik dan mengujakan. Tetapi akhirnya sofa merah
tua itu semakin memudar. Begitu juga dengan meja kopi yang tercalar di
permukaannya. Namun Kharlissa sudah tidak peduli! Dia tidak akan menukar
perabot yang baru! Dia akan meninggalkan tempat itu... Selama-lamanya.
Perlahan-lahan Kharlissa bergerak ke arah meja kopi. Envelop
coklat gelap itu dicapai. Hujung envelop itu dikoyakkannya dengan cermat. Dia
menarik beberapa keping gambar yang disertakan di dalam sampul surat itu.
Kharlissa merenung gambar-gambar itu tanpa sebarang perasaan. Raut wajah lelaki
itu tidak dikenalinya. Dia tidak pernah melihatnya seumur hidup. Ini adalah
kali pertama dia melihatnya.
Di dalam sampul surat itu terdapat sedikit maklumat tentang
lelaki itu. Berusia lima puluh dua tahun, mempunyai aset yang berharga,
syarikat, rumah dan kereta mewah. Agak kacak walaupun kepalanya sedikit botak.
Mempunyai isteri tetapi tidak punya anak. Isterinya, Puan Martin berusia
pertengahan empat puluhan. Namun tidak terdapat gambar isteri lelaki itu. Tidak
mengapa. Tidak penting untuk kenal dengan pasangan lelaki itu. Lelaki yang akan
menemui kematian.
“Tak ada masalah,” Kharlissa berbisik pada dirinya sendiri.
“Kau adalah target yang mudah,” Dia berkata lagi seorang
diri kemudian tersenyum. Senyumannya manis menggoda. Dua ulas bibirnya basah
dan seksi, sentiasa dipaliti lipstik
merah darah.
Gambar dan maklumat itu segera dimasukkannya ke dalam sampul
surat. Kemudian dia menyimpan sampul surat itu di dalam laci yang berkunci.
Kharlissa segera bergerak masuk ke dalam bilik tidur, menukar pakaian. Sepasang
seluar kulit hitam yang ketat dan berkilat disarungkan ke tubuh yang lampai.
Jaket kulit hitam dizip hingga menutup pangkal leher.
Tugasan terakhirnya akan bermula. Dia tidak akan menunggu
lama untuk melaksanakannya. Dia yakin pada keupayaan diri. Dia seorang wanita
muda yang kuat dan tangkas. Dia hot, seksi tetapi merbahaya.
Kharlissa berdiri di cermin sambil merenung wajahnya yang
bersolek cantik. Wajahnya sungguh menawan, wajah seorang wanita Asia. Bagi
masyarakat di sini selalu menyangka dia berbangsa Cina ataupun Korea.
Lebih-lebih lagi dia fasih berbahasa Kantonis, Korea, Inggeris
dan
Sepanyol. Walau bagaimana pun dia juga bukan Melayu tulen. Ada darah campuran
di tubuhnya. Darah seorang lelaki keturunan Jepun dan seorang wanita Melayu.
Lelaki yang dia sendiri tidak pernah kenal! Lelaki yang meninggalkan ibunya
hidup dalam penderitaan. Lelaki yang membuat ibunya hampir-hampir jadi gila.
Dia benci lelaki. Lelaki hanya pandai menghadiahkan
penderitaan. Tapi sampai bilakah dia harus membendung rasa benci ini? Dia
sendiri tidak tahu. Terkadang tumbuh jua keinginan di hati. Dia ingin hidup normal. Bolehkah dia hidup
seperti seorang wanita biasa?
Sejak kebelakangan ini soalan itu sering menghambatnya.
Kharlissa terus memaling wajahnya yang indah kala terasa ada
sebutir titisan airmata jernih mengisi sudut mata. Hatinya jadi hampa dan sedih
setiap kali mengingati kenangan silam. Tidak! Lupakan saja! Bisik hatinya
berulang kali. Apa guna diingat segala kisah yang sudah menjadi sejarah.
Dia memandang ke arah tilam beralas comforter. Di situ
terletak aman segala peralatan yang bakal dia gunakan. Tangannya bagaikan tidak
sabar untuk menggenggam senjata yang menjadi teman karibnya sejak beberapa
tahun lampau. Sejak dia diajar dan dilatih oleh Organisasi Maxy menjadi seorang
pembunuh upahan!
Kharlissa pernah mendengar orang berkata, pekerjaan tertua
di dunia adalah pelacuran. Tetapi Kharlissa tidak pernah melakukannya walaupun
sekali. Dia masih unggul. Mungkin menjadi pembunuh upahan pekerjaan kedua
tertua di dunia, fikir Kharlissa lagi. Sejak manusia lahir, mereka sudah tahu
untuk saling memusnahkan demi kepentingan diri sendiri.
Lihat sahaja kisah Habil dan Qabil.
Seumur hidup Kharlissa, dia tidak pernah percaya kepada
lelaki! Justeru itu Kharlissa tidak pernah punya teman lelaki, tidak punya
saudara dan tidak punya ayah. Dan Kharlissa hanya kenal lelaki seperti Maxy.
Dia adalah satu-satunya contoh seorang lelaki yang Kharlissa kenal dengan agak
dekat. Maxy hanya memikirkan wang setiap saat.
Kharlissa juga tidak punya teman wanita. Wanita yang
Kharlissa kenal hanya ibunya yang sudah dua puluh tahun meninggalkannya.
Kharlissa terlontar seorang diri di tengah-tengah kota raya ini. Dan dia telah
membuat keputusan untuk kembali ke tanah kelahiran ibunya. Dia harus mencari si
ibu kandung... Dia mesti mencari wanita itu! Ada perhitungan yang belum selesai
antara mereka! Dan Kharlissa ingin sekali bertanya kepada ibunya, kenapa dan
mengapa dia ditinggalkan sendirian untuk mengharungi hidup? Ibu jenis apakah
dia?
Mungkin jenis yang tidak sayang pada darah daging sendiri.
Jenis manusia berhati kejam dan jahat, bisik hati Kharlissa sambil mencapai
pistolnya. Dia memeriksa peluru yang ada di dalamnya. Ianya diisi penuh. Sedia
untuk digunakan.
Bab
2
STESEN POLIS, MANHATTAN, NY
9:00
Siang
DETEKTIF
Howard dan Sarjan Boone, masih berbual mengenai kejadian dua malam lepas. Satu
lagi pembunuhan berlaku di satu kawasan kejiranan elit kota ini. Mangsanya
seorang lelaki korporat yang terkenal. Dia berbangsa kulit putih, tetapi
berkahwin dengan wanita Asia. Walaupun memeluk agama Islam namun cara hidupnya
masih tidak berubah, tetap mengamalkan budaya hidup rakyat Amerika. Dia
memiliki seorang wanita simpanan, kulit hitam. Citarasa lelaki itu memang pelik
dan aneh.
“Apakah kita perlu mengaitkan pembunuhan Martin dengan
perempuan simpanannya?” tanya Sarjan Boone.
“Ya, kenapa tidak. Kau dapatkan maklumat tentang perempuan
simpanan dia,” balas Detektif Howard.
“Siapa saja boleh jadi
suspek. Samada isterinya, wanita Asia tu ataupun perempuan simpanannya.”
“Sebenarnya aku sudah pun mendapatkan maklumat tu,” kata
Sarjan Boone sambil membuka sampul surat di tangannya dan mengeluarkan
gambar-gambar gadis kulit hitam bernama Bonie.
Walaupun berkulit hitam tetapi wajah gadis itu sempurna.
Bonnie seorang model dan pelakon iklan. Gambar Bonnie yang mengenakan bikini
biru muda itu direnung Detektif Howard dengan mata tidak berkelip. Terlalu
cantik hingga mata enggan lari dari terus menatap wajah dan bentuk
tubuhnya. Kulit yang halus, wajah yang
sensasi dan sepasang mata yang besar serta hitam.
“Bagus!” Ucapnya tanpa melepaskan pandangan.
Matanya terus melekat pada gambar Bonie. Pelbagai fikiran
nakal mulai tergambar dalam mindanya tetapi segera terpotong apabila terdengar
Sarjan Boone bertanya,
“Bagaimana dengan partner dia, Jackson?”
Mata Sarjan Boone
beralih mengawasi wajah Detektif Howard yang masih leka membelek-belek gambar
Bonie. Ada lebih kurang lima keping gambar. Semuanya menjolok mata. Detektif
Howard tersengih sendiri.
“Jackson akan beri keterangan pagi ni. Aku dah pun contact
dia semalam,” jawab Detektif Howard kemudian sambil menyimpan gambar-gambar
Bonie di dalam sampul surat besar dan melemparkannya ke atas meja.
“Hubungi perempuan ni secepatnya. Minta dia datang jumpa
aku. Kita harus menyoal siasat dia. Kenyataannya harus diambil. Kita perlu tahu
ke mana dia pergi pada malam pembunuhan tu berlaku.”
Motif pembunuhan Musa Martin Abdullah masih kabur.
Pembunuhnya sangat licik, hilang tanpa meninggalkan sebarang jejak.
Satu-satunya bukti adalah melalui kelongsong peluru yang terbenam di dahi
lelaki itu. Namun pembunuh yang cekap pasti sudah pun membuang pistol yang
digunakan. Pembunuhan sering terjadi di kota ini. Banyak kes yang tidak
selesai.
Isteri lelaki itu kini dalam tahanan polis untuk soal
siasat. Pihak polis mengesyaki isteri Martin adalah dalangnya. Kemungkinan
besar dia yang mengupah pembunuh upahan untuk membunuh suaminya sendiri kerana
wang. Menurut pembantu rumah mereka, pasangan suami isteri itu mengalami krisis
rumahtangga dan hampir-hampir bercerai. Dengar khabar, isterinya cemburukan
perempuan simpanan Martin.
Si Bonnie yang cantik
rupawan dan seksi pula. Sedangkan wanita itu Asia itu sudah hampir mencecah
usia empat puluhan. Pasti sudah tidak menarik lagi.
Tidak mustahil, isteri mangsa ingin membolot semua harta
milik suaminya dan hidup sebagai seorang janda kaya yang diselubungi kemewahan.
Bukan sedikit wanita yang berhati jahat dan buruk seperti itu! Malah wanita
begini sudah wujud sejak dari zaman dahulu sehingga kini, fikir Detektif Howard
sambil mengetuk jari-jemarinya di permukaan meja cermin.
Di satu sudut, sekotak donat sudah luak isinya. Begitu juga
cawan kertas berisi kopi sudah hampir kering. Sarjan Boone sedang menghabiskan
donat terakhir yang ada di dalam kotak tersebut.
Tiba-tiba pintu kamar bilik Detektif Howard diketuk. Muncul
setiausahanya seorang wanita lingkungan 30an, berwajah serius. Langsung tidak
cantik, kurus tinggi bak jerangkung. Di wajahnya ada tetua yang berwarna coklat
kemerahan.
“Ada orang mahu jumpa tuan,” beritahunya.
“Siapa?”
“Seorang lelaki Asia. Katanya ada kaitan dengan suspek
pembunuhan Musa Martin.”
“Okey, suruh saja dia masuk,” balas Detektif Howard.
“Ayuh! Pura-pura sibuk!” perintah Detektif Howard pada
Sarjan Boone.
Namun Sarjan Boone hanya sibuk makan donat hingga bibirnya
yang kecil dan tipis itu kelihatan sedikit comot dengan gula.
“Good Morning!”
seru seorang lelaki Asia yang baru muncul di hadapan pintu.
Lelaki itu segak, tinggi lampai dan berkulit cerah.
Rambutnya tersisir rapi dan pakaiannya kemas.
“Morning. Please come
in,” jemput Detektif Howard sambil bangun.
Lelaki itu segera memperkenalkan dirinya kepada Detektif
Howard dan Sarjan Boone.
“Saya Khairul Rasheed, dari Kuala Lumpur, Malaysia. Saya
adik Puan Linda Martin Abdullah,” katanya sambil merenung lembut ke wajah
Detektif Howard dan Sarjan Boone silih berganti.
“Ohhh! Pewaris wanita Asia tu? Kau datang dari jauh, nak
beri maklumat tentang pembunuhan tu?” tanya Detektif Howard.
Khairul Rasheed
menggeleng.
“Tak, bukan itu tujuan saya datang,” terang Khairul Rasheed
dengan penuh hemah.
Khairul Rasheed bergegas terbang dari Kuala Lumpur ke New
York sebaik sahaja mendapat panggilan daripada Linda. Panggilan ringkas namun
padat dengan cerita sensasi itu membuat Khairul Rasheed tidak menangguhkan
waktu untuk membantu kakaknya yang malang.
“Biar saya berterus terang. Pihak tuan tidak boleh menahan
Linda Martin sesuka hati. Dia perlu diberikan hak untuk mempertahankan diri
dari dituduh secara membabi buta.
Tuduhan sebagai suspek dalam kes ini adalah mengarut sama sekali!”
Walaupun kata-kata Khairul Rasheed bernada lembut tetapi cukup sinis.
“Kamu tak berhak mengganggu siasatan kami!” tegas Detektif
Howard sambil berdiri. Wajahnya merah padam, menahan marah. Dia tidak sangka
lelaki Asia itu begitu berani menempelak tindakannya menahan Linda Martin.
“Siapa kau? Kes ni berlaku di sini dan tak ada kaitannya
dengan kau.”
Geraham Khairul
Rasheed berlaga-laga semasa sendiri. Dia cuba menahan marah dengan mengukir
senyum sinis. “Saya tahu di sini Amerika. Tapi di Amerika atau pun Malaysia,
kita semua dilindungi undang-undang. Linda Martin bukan suspek kes ni! Tak
mungkin dia bunuh Martin. Saya mahu lihat testimoni dia. Saya datang dengan
peguam,” kata Khairul Rasheed tanpa rasa takut sambil menghentak tangannya ke
meja Detektif Howard.
“Wooo... Nanti dulu! Jangan terlalu cepat membuat rumusan.
Kami masih belum habis menyoal dia. Tak mungkin dia akan dilepaskan selagi
introgasi ke atasnya selesai. Sekurang-kurangnya untuk 36 jam,” balas Detektif
Howard.
“Saya mahu jumpa dengan dia! Saya berhak untuk jumpa dia
bukan? Dia juga berhak untuk mendapat seorang peguam,” kata Khairul Rasheed
dengan tegas.
Dia risau memikirkan tentang diri Linda. Kejadian itu
benar-benar tidak diduga. Selama ini Linda tidak pernah menceritakan sebarang
krisis dalam rumahtangganya dengan Martin. Tiba-tiba sahaja Martin dibunuh
dengan kejam lewat tengah malam di perpustakaan rumahnya. Kala itu Linda sedang
tidur. Dan keesokan harinya Linda menemui Martin sudah pun mati. Dia juga yang
menghubungi pihak berkuasa. Tetapi pihak polis kini menahan Linda sebagai
suspek utama.
“Okey, kau boleh jumpa dia. Tapi membawa dia keluar dari
sini, hampir-hampir mustahil, walaupun kau mampu untuk bayar berapa ribu dolar
sekali pun,” tegas Detektif Howard.
“We will see,”
balas Khairul Rasheed.
Detektif Howard diam sahaja. Dia meneriak orang bawahannya
supaya membawa Khairul Rasheed menemui
kakaknya yang ditahan dilokap polis.
“K,
tolong bebaskan kakak dari sini. Seksa rasanya duduk kat dalam ni,” rintih
Linda bersama esak tangis.
Sebaik sahaja dia melihat wajah lelaki itu, Linda terus
meluru dan memeluknya dengan erat. Khairul Rasheed cuba menenangkan kakaknya
itu dengan mengajak dia duduk. Dia memberitahu ibubapa mereka, iaitu Dato’
Salihin dan Datin Zora sedang menunggu berita darinya di Hotel Sheraton, New
York. Mereka turut datang memberikan sokongan kepada Linda. Cuma Khairul
Rasheed tidak membenarkan ibunya mengikut dia ke pejabat polis itu tadi.
“Kak, jangan bimbang. Saya akan berusaha untuk bebaskan
kakak hari ni. Lepas tu bawa kakak balik ke Malaysia.”
“Ya, jangan bimbang apa-apa, Puan Linda,” sampuk Peguam Tan
yang ada bersama mereka.
Linda melemparkan senyuman pahit. Wajahnya muram dan
rambutnya kusut masai. Hilang segala keterampilannya sebagai seorang wanita
yang kaya dan elegen. Semuanya terjadi kerana pembunuhan tragis yang berlaku ke
atas Martin. Linda masih belum dapat melupakan kejadian ngeri yang menimpa diri
Martin. Namun dia terpaksa menerima kenyataan bahawa Martin sudah tiada lagi.
Kenapa terlalu cepat dia pergi? Bisik hatinya sambil menyeka
airmatanya perlahan-lahan.
Apakah yang akan berlaku padaku seterusnya? Menerima hukuman
atas tuduhan yang tidak aku lakukan? Oh! Tuhan... Bantulah aku!
“Kak, saya harap kakak banyakkan bersabar. Insya Allah kakak
akan keluar dari sini selewat-lewatnya petang ni. Saya dan Mr. Tan akan
berusaha untuk meyakinkan pihak berkuasa. Kami juga mohon pertolongan dengan
kedutaan. Insya Allah, Tuhan akan tunjukkan jalan, dipermudahkan segalanya.”
“Siapa yang sanggup bunuh Martin... ohhhh!” Linda tersedu.
“Kita semua juga tertanya-tanya. Siapakah pembunuh Martin
dan apakah motifnya. Bagaimana dengan bisness partner Martin?” Tiba-tiba
Khairul Rasheed teringatkan rakan kongsi Martin.
“Jackson?”
“Dia... Errr... dia tak ada. Masih di Eropah. Mungkin dia
sudah tahu berita ni. Tentu staff di syarikat sudah beritahu dia. Tapi... tapi
dia masih belum muncul di sini. Dia belum beri testimoni. Kakak harap testimoni
Jackson akan dapat tolong kakak bebas dari sini,” beritahu Linda.
“Ya, harap Jackson boleh membantu kakak. Saya akan contact
dia, kak!” jawab Khairul Rasheed.
“Kakak tenang saja, biar kami uruskan hal ni dengan
sebaik-baiknya. Percayalah, semua ni akan cepat berakhir,” kata Khairul Rasheed
sambil bangun.
Khairul Rasheed dan Peguam Tan terserempak dengan Jackson
yang baru keluar dari bilik Detektif Howard. Dia juga baru tiba dari Eropah,
setelah mendengar berita menggemparkan itu. Dia sedang bercuti tetapi bergegas
pulang untuk memberikan keterangan. Maklumat dari Jackson amat berguna untuk
menyelesaikan masalah yang membelenggu diri Linda. Menghadapi tuduhan sebagai
pembunuh, bukanlah satu perkara yang mudah dan boleh dipandang ringan.
Bagi Linda, ianya sesuatu yang amat mengerikan! Menjadi
mimpi dan igauan yang menakutkan. Sejak melihat Martin terkapar dengan dahi
ditembusi peluru, Linda tidak dapat melupakannya walaupun di dalam jaga ataupun
di dalam tidur.
“Saya tahu Linda Martin tak bersalah,” kata Jackson sambil
memegang bahu Khairul Rasheed.
“Saya telah beri testimoni kepada pihak polis. Kenyataan ini
benar dan tidak perlu disangkal lagi. Saya yakin pembunuhan Martin adalah
disebabkan oleh balas dendam salah seorang pekerja kami yang dipecat Martin
minggu lepas. Saya yakin sekali. Pekerja itu, George namanya, memang marah dan
pernah mengugut hendak membunuh Martin. Beberapa orang pekerja kami tahu
mengenai ugutan itu. Dia bertengkar hebat dengan Martin sebelum meninggalkan
syarikat. Pihak polis sedang mencari George sekarang. Dia dipercayai melarikan
diri ke Hawaii dengan pesawat lewat malam tadi.”
“Apakah kesalahannya hingga dia dipecat?”
“Menggelapkan duit syarikat. Hampir 2 juta US dolar. Martin
mengugut hendak menyerahkan dia kepada pihak berkuasa. Lelaki itu terus
melarikan diri namun sempat memberi amaran. Sekiranya Martin melaporkan
kejadian itu kepada polis, dia akan dibunuh. Ugutan itu akhirnya benar-benar
terjadi.”
“Wow!!” Khairul Rasheed jelas terkejut.
Namun dia bersyukur. Dengan testimoni yang diberi oleh
Jackson pasti Linda akan dibebaskan secepatnya. Linda akan segera dibawa pulang
ke tanah air. Dia berharap pengalaman buruk itu tidak akan mematahkan semangat
Linda untuk meneruskan hidup.
“Terima kasih,” ucap Khairul Rasheed sambil bersalaman
dengan Jackson.
“I am happy to help
Linda. She was a wonderful woman, beautiful, wise,” katanya sambil
tersenyum mesra.
“Ya, dia memang seorang wanita yang layak untuk dipuji.
Bukan dikeji dan diberi penghinaan begini,” kata Khairul Rasheed membendung
rasa sedih.
Bab
3
SEORANG
wanita muda, dalam lingkungan usia dua puluh enam tahun, baru sahaja keluar
dari balai berlepas. Pesawat yang dinaiki dari benua Amerika baru sahaja
mendarat.
Dia berjalan perlahan menarik beg pakaian beroda, sambil
sepasang mata yang terselindung dari sebalik kaca mata hitam memerhati jinak
suasana sekeliling. Pusuan orang ramai yang baru keluar dari pesawat menuju ke
pelbagai arah. Terdengar suara-suara yang tidak asing di telinganya. Dia rindu
untuk mendengar dan melihat sesuatu yang dia ketahui, kenal dengan pasti. Dia
mahu mengingati segalanya, walaupun terlalu pahit.
Langkah terus diatur. Kakinya yang panjang kelihatan sungguh
cantik, mengenakan but berwarna hitam yang berkilau. Sementara baju kemeja
sendat warna merah membalut tubuh, dipadankan dengan seluar jean ketat.
Bahagian dadanya sedikit terdedah, memperlihatkan alur buah dada yang seksi.
Dia tidak peduli apabila ada mata nakal yang mencuri pandang.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur adalah yang
antara lapangan terbang yang tercanggih. Penumpang dibawa meninggalkan balai
ketibaan dengan menaiki tren menuju ke terminal. Dia tidak terkecuali menyelitkan diri di celah-celah penumpang
lain. Sebaik tiba di terminal, matanya merenung jauh ke arah pintu yang
menghala ke luar. Di situ terdapat deretan kereta sewa yang menanti pelanggan.
Aku akan mulai membina kehidupan di sini, bisik hatinya. Aku
tahu, di sini aku akan lebih bahagia. Aku mahu berubah. Aku bukan lagi Carra
Carson Maxwell. Tetapi aku adalah Kharlissa Yusuf, seorang wanita biasa.
Seorang wanita yang ingin belajar perkara
baru. Perkara baru pastinya indah dan menarik. Mulai detik ini, aku akan
berubah secara total, bisiknya sambil memandang ke arah beg pakaiannya yang
besar dan berat. Dia terus menarik beg
pakaian menghala ke arah teksi yang
menunggu penumpang. Sebaik sahaja masuk ke dalam perut teksi dia terus meminta
dibawa ke Pusat Bandar Kuala Lumpur.
Malam ini dia akan
menginap sahaja di hotel. Tidak sempat untuknya mencari rumah. Pasti dia
memerlukan masa bagi mencari lokasi dan tempat yang sesuai untuk menginap.
Kharlissa berdiri di tepi balkoni hotel,
sambil memegang gelas minuman. Lantaran dia ingin benar-benar berubah, dia
meminggirkan minuman keras. Jus oren menjadi pilihannya bagi menghilangkan
dahaga.
Aku seorang wanita biasa. Seorang gadis yang baik, dia
mengingatkan dirinya sendiri. Dia tersenyum sendiri, sambil mata ditebar jauh.
Dari balkoni hotel tingkat lima belas itu dia dapat melihat pemandangan kota
raya Kuala Lumpur. Angin malam begitu ramah memesrai wajahnya yang kosong tanpa
solekan.
Pelbagai rancangan masa depan sedang mengisi minda. Dia cuba
menterjemahkannya satu persatu. Mulai esok dia harus mencari rumah untuk
didiami. Rumah yang selesa. Mungkin sebuah kondo mewah yang akan dihuni bersama beberapa orang rakan
baru. Pun dia merasa lebih selesa jika bersendirian.
Dia kembali ke dalam bilik, membiarkan pintu yang menghala
ke balkoni ternganga luas. Dia duduk di kerusi dan mencapai diari. Diari yang
masih kosong. Dia akan mencorakkan diari kosong itu dengan cerita-cerita baru.
Tiada kisah lama. Tiada kenangan. Semuanya baru.
Dia mulai menulis;
Pertama: Sebuah kondo harus didiami
seorang diri.
Kedua: Sebuah kereta sederhana mewah
Ketiga: Sebuah komputer riba
Keempat: Seorang lelaki...
Dia terhenti menulis. Apakah rancangan seterusnya? Seorang
lelaki untuk apa? Dia tidak tahu. Dia buntu. Dia tidak punya rancangan yang
lebih daripada itu. Agh! Apa yang harus dia buat? Sebuah rengusan perlahan
dilepaskan.
“BARU pindah?” Seorang lelaki menegurnya dalam
Bahasa Melayu semasa dia berada di hadapan pintu yang terbuka. Kharlissa baru
membeli kondo itu dengan harga RM 600,000.00.
Dia membayarnya secara tunai. Wang simpanan dalam bentuk US Dolar apabila
ditukar ke Ringgit Malaysia, benar-benar menjadikan dia seorang jutawan. Selama
bertahun-tahun dia menyimpan wang itu untuk masa depan. Inilah masa depan yang
sering difikirkannya.
Memiliki sebuah rumah yang selesa. Kondo itu mempunyai tiga
bilik tidur. Ruang tamu yang luas, mengadap ke taman yang menghijau. Memang
amat bertepatan dengan nama kondo itu. Setapak Garden.
Kharlissa sibuk mengeluarkan beberapa buah kotak yang sudah
dilipat. Kotak-kotak itu mahu dibuang segera. Dia tidak suka suasana yang sesak
dan berselerak.
Kharlissa tidak segera menjawab. Entah mengapa lidahnya
kelu. Sudah lama tidak bertutur dalam Bahasa Melayu. Namun dia masih faham dan
ingat. Dia mengambil keputusan untuk berdiam diri sahaja, sambil mata bundar
miliknya memandang wajah lelaki itu.
Lelaki itu masih muda, berusia penghujung dua puluhan.
Tinggi dan berkulit cerah. Rambutnya agak panjang, mencecah bahu dibiarkan
bebas. Dagu dan bahagian atas bibirnya kelihatan bersih baru lepas bercukur.
Malah bau colognenya masih sempat dibawa angin ke deria rasa Kharlissa. Bau
yang sangat asing namun menyenangkan.
“Need help with those
boxes?” tanya lelaki itu apabila melihat dia hanya membisu.
“Care to help?”
soalnya semula sengaja untuk bermain tarik tali.
Sempat dadanya berdebar kala lelaki itu datang mendekat.
Jarak pintu rumah mereka lebih kurang dua puluh meter sahaja. Lelaki itu adalah
satu-satunya jiran terdekat.
“Yeah, why not,”
balas lelaki itu.
Hmmmm, layan sajalah lelaki ni, fikirnya sambil
menggertapkan bibir. Bukankah aku mahu berubah?
Terlalu ingin menjadi orang lain. Menjadi seorang gadis bernama
Kharlissa yang baik, ramah dan ingin berkawan dengan sesiapa sahaja, terutama
sekali seorang lelaki handsome. Tapi
apakah dia masih bujang? Ataupun sudah berkeluarga? Nanti tak pasal-pasal
isterinya cemburu, kena kejar dengan penyapu.
“Saya sentiasa ada masa untuk gadis cantik macam awak,” kata
lelaki itu dalam bahasa Melayu sambil menghadiahkan senyuman. Matanya nampak
bercahaya. Kharlissa dapat menangkap wajahnya yang kelihatan ceria.
“O, kalau tak cantik awak tak mahu tolong ke?” tanya
Kharlissa sinis.
Menyampah juga dia mendengar ungkapannya tadi.
Lelaki itu mengerut
kening. Ehhh, boleh pulak cakap Melayu rupanya perempuan ni, bisik hatinya.
Dia tertawa lembut.
“Saya puji awak sebenarnya tadi. Awak marah ke?” Lelaki itu
masih ingin bermain dengan kata-kata yang membuat Kharlissa terdiam sejenak.
Dia hilang tingkah. Terasa susah pula berhadapan dengan
lelaki yang baru dikenali. Nak pulak lelaki itu sangat kacak... bisik hati
Kharlissa. Debaran tiba-tiba menerjah dinding dadanya.
Pantas lelaki itu membongkok mengambil kotak-kotak yang baru
dilonggokkan dan mengangkatnya dengan ke dua-dua belah tangan. Tangannya nampak
sasa dan tegap.
“Taklah. Saya tak marah. Cuma... saya tak biasa dipuji,”
terus terang Kharlissa cuba membuka secebis dari rahsia kehidupannya.
Dia tidak pernah dipuji. Tidak biasa menerima pujian. Semua
itu buat dia rasa amat janggal. Siapa yang pernah memuji seorang pembunuh
upahan? Dia sentiasa dikeji dan dicaci. Dia pembawa bencana dan kemusnahan. Dia
seorang wanita kejam dan jahat. Dia... Hati Kharlissa rasa pedih secara
tiba-tiba.
Tidak! Aku mahu melupakan Carra. Carra sudah hilang jejak
walaupun dia belum mati. Aku adalah Kharlissa.
“Saya ikhlas. Walaupun di KL ni ramai perempuan cantik, tapi
awak memang lain. Kecantikan asli,” lelaki itu mengenyitkan matanya.
Kharlissa meraba-raba pipinya sendiri. Ya, dia tidak
bersolek langsung sejak tiga hari lepas. Dia membiarkan wajahnya tanpa
dilindungi topeng solekan lagi.
“Okey... Terima kasih. Tapi awak jangan menyesal sebab
tawarkan pertolongan. Ada banyak lagi sampah dalam rumah saya.”
“Tak apa. Saya takkan paksa awak belanja makan malam ni!”
Kharlissa tidak menjawab. Dia memandang sahaja lelaki itu
membantu memunggah kotak-kotak yang banyak itu ke tingkat bawah. Kemudian dia
turut turun, menghantar kotak-kotak dan sampah di dalam beg plastik hitam ke
tempat pembuangan sampah di belakang kondominium.
“Terima kasih,” ucap Kharlissa sambil berjalan menghala ke
pintu lif.
“No problem. By the
way, what is your name? Yalah saya perlu tahu nama awak, takkan saya nak
panggil ‘oi’ saja kan?” kata lelaki itu.
“Nama saya err... Kharlissa.”
“Kharlissa. Sedap nama awak,” balasnya sambil tersenyum
mengusik.
Kharlissa tertawa kecil.
“Panggil saja Liss,” katanya masih mengulum senyum.
Lelaki itu menghulur tangannya.
“Kay,” katanya sambil tersenyum mesra.
Kharlissa menyambut tangan lelaki itu yang kelihatan panjang
dan berkuku putih bersih. Telapak tangannya lembut menandakan dia bukan
melakukan kerja-kerja yang kasar, jauh sekali buruh. Kharlissa cuba menduga
pekerjaan lelaki itu. Mungkin seorang arkitek atau engineer, fikirnya.
“Kay? Nama yang sangat ringkas,” komen Kharlissa.
“Sebenarnya nama saya Khairul Rasheed Dato’ Salihin.”
Wow, anak orang elit dan bertitle. Yalah! Kalau bukan anak orang kaya, masakan mampu duduk di
kondo ni, bisik hati Kharlissa.
Mereka sudah pun berada di dalam lif dan Khairul Rasheed
menekan punat nombor enam. Kala itu mereka berdiri begitu dekat. Sekali lagi
Kharlissa terhidu bau cologne lelaki itu. Begitu menyenangkan. Apakah minyak
wangi yang dia pakai? Soalnya ingin tahu.
Sungguh mendebarkan kala berdiri begitu dekat hampir-hampir
bersentuhan bahu, fikir Kharlissa lagi. Aku rasa dia lelaki yang punya sentuhan
magis, membuat hatiku tiba-tiba jadi suka padanya... Gila kau Kharlissa! Marah
hatinya pula. Suka pada lelaki ni? Bukankah kau tak pernah sukakan sesiapa?
Apalagi lelaki. Satu-satunya lelaki yang baik hanya Maxy.
Aduh... Kharlissa merengus perlahan. Matanya dengan gesit,
menjeling Khairul Rasheed dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Dia
berpakaian ringkas seluar bermuda dan t.shirt putih, berkolar biru. Walaupun
rambutnya agak panjang, namun bersisir rapi.
Satu rasa aneh menyelinap lagi ke dalam hatinya. Dia tidak
mengerti mengapa dadanya pula rasa berdebar, berdua sahaja dengan lelaki itu
dikepung ruang lif yang kecil. Dia pura-pura memandang ke arah butang lif yang
berkelip-kelip setiap kali tiba di tingkat yang dilewati. Beberapa saat lagi
mereka akan tiba di tingkat enam. Pintu lif akan terbuka luas dan mereka akan
keluar. Entah mengapa Kharlissa rasa berat hati...
“Nama awak Kharlissa saja ke? Tak ada nama bapa?”
“Kenapa?” Kharlissa memulangkan pertanyaan.
“Yalah selalunya pada perkenalan pertama orang akan menyebut
namanya dan nama keluarga,” jawab Khairul Rasheed, memusing badan dan muka,
merenung ke wajah Kharlissa yang sedang terdongak.
“Mungkin ‘orang’ tu silap. Tak semestinya, kita perlu
bercerita tentang keluarga pada perkenalan pertama,” jawab Kharlissa dengan
nada tegas.
“OK, Up to you.
Kalau tak keberatan, sebelum ni awak tinggal kat mana?” lanjut lelaki itu
benar-benar berminat ingin tahu tentang wanita cantik yang menjadi jirannya
yang baru. Bola matanya tidak lepas
memandang mata Kharlissa yang bersinar lembut. Bibirnya comel, kemerahan dan
basah.
“Singapura,” jawab Kharlissa ringkas, cuba untuk berbohong.
Sebaik pintu lif
terbuka dia terus bergerak menuju ke pintu rumahnya. Lelaki itu membontoti
Kharlissa dengan pantas. Dia masih ingin meneruskan perbualan.
“Kerja apa, kalau boleh saya tahu?”
Kharlissa menjelingnya tajam, tidak suka mendengar
pertanyaan itu. Kau ni polis ke? Semua hal orang nak tahu! Gerutunya di dalam
hati sedikit geram.
Lantaran dia ingin menjadi Kharlissa dan bukan lagi Carra,
dia terpaksa meladeni pertanyaan Khairul Rasheed dengan sebaik mungkin.
“Cubalah awak teka. Kalau awak berjaya teka dengan betul,
mungkin dapat sikit ganjaran,” katanya sambil tersenyum nakal.
Senyuman yang tidak dibuat-buat. Sampai bila-bila pun kau
takkan tahu pekerjaanku yang dulu! Kalau kau tahu, mungkin kau kecut perut?
Bisik hati Kharlissa dan dia tersengih lebar.
“Wow, ada ganjaran. Saya suka. Hmmm, biar saya cuba. Saya
rasa awak ni kalau bukan model, mesti seorang pelakon, sebab awak sesuai jadi
model dan pelakon. Full pakej.
Cantik, tinggi lampai, seksi.”
Kali ini Kharlissa tertawa tanpa rasa terpaksa hingga
airmatanya mengalir tanpa sedar.
“Model? Mengarut betul!”
“Pelakon?”
“Tak... tak... saya
tak ada bakat langsung,” jawab Kharlissa.
“Model bukan, pelakon pun bukan. Penyanyi juga tak mungkin,”
kata Khairul Rasheed sambil berfikir-fikir dalam. Entah mengapa enggan
melepaskan ‘ganjaran’ kecil yang dijanjikan Kharlissa. Dia mesti meneka kerjaya
wanita di hadapannya itu dengan tepat.
“Hmmm, bisness woman?”
dia berkata dengan kening terangkat.
Kharlissa menggeleng-geleng bersama senyuman menghiasi
bibir.
“Mengaku kalah?” cabar Kharlissa.
“Saya akan kehilangan ganjaran?” dia bertanya sedikit kesal.
“Awak begitu mengharap pada ganjaran yang tak seberapa tu?”
Kharlissa pula menduga.
“Haa... saya tahu, awak seorang pembunuh upahan!” Khairul Rasheed berkata tanpa berfikir,
kemudian menggelengkan kepalanya pula.
Wajah Kharlissa merah padam mendengar kata-kata Khairul
Rasheed. Dia melindungi dengan tawa. Tawa yang hambar. Tekaan yang sangat tepat,
bisik hati Kharlissa. Apakah lelaki ni dapat membaca fikiran orang? Atau pun
dia punya naluri yang sangat kuat. Bahaya! Sungguh-sungguh bahaya berkawan
dengan lelaki begini.
“Awak memang pandai mengarut!” balas Kharlissa cepat,
membuka pintu dan menyelinap masuk.
“Hei! Hei! Nanti dulu! Macamana dengan ganjaran tu?”
“Sorry, tekaan
awak jauh tersasar. Jadi, tak ada ganjaran. Bye!”
Kharlissa terus menutup pintu rumahnya serapat yang mungkin.
Dadanya berdebar-debar. Dia memegang kedua-dua pipinya
sambil bersandar pada pintu. Dia masih terkejut semasa lelaki itu menyebut
pekerjaannya dengan tepat tadi. Siapakah dia? Siapa lelaki itu sebenarnya?
Apakah jejaknya sedang dicari dan dia sedang diintai bahaya?
Oh My God! Kharlissa mengeluh sendiri. Dia
menarik nafas dalam-dalam. Tenang, bisik hatinya. Selama ini kau tak pernah
tertangkap. Malah tidak pernah sekali pun disyaki. Jadi, lelaki itu hanya
bergurau. Dia tak tahu apa-apa!
Kharlissa bergerak ke dapur, tekaknya tiba-tiba terasa
begitu haus sekali.
Khairul Rasheed masih berdiri di hadapan pintu yang bertutup
rapat. Dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Hatinya belum puas. Wanita
muda itu gemar berahsia. Namun dia tidak ingin memaksa jiran barunya itu
bercerita sesuatu yang peribadi. Mungkin kesempatan masih banyak untuk mereka
berkenalan lebih rapat. Dia benar-benar sukakan wajah Kharlissa. Begitu ayu dan
cantik... wajah itu bagaikan salinan wajah aktress Korea.
Khairul Rasheed bagaikan terpukau. Hatinya benar-benar
terpaut.
Bab 4
KHARLISSA menghumban tubuh ke atas katil.
Malam kian larut, namun matanya enggan terlelap. Sejak jam sembilan malam dia
menonton sebuah filem yang sangat membosankan dari saluran televisyen tempatan. Jam dua belas filem itu tamat tanpa
meninggalkan sebarang kesan di hati Kharlissa.
Kini dia berbaring tanpa selimut walaupun cuaca malam itu
terasa dingin. Guruh terdengar sayup diikuti dengan kilat menyambar cermin
tingkap tepi katil. Tidak lama kemudian hujan mulai turun, tempias menampar tingkap kaca yang bertutup
rapat.
Kian lama hujan kian lebat. Hati dicengkam sepi yang teramat
sangat. Dia perlukan seorang teman bagi membunuh kesepian ini. Tetapi siapakah
yang sudi menemani? Hati kecilnya dibungai rasa takut. Kenapa rasa sepi itu
harus datang menyapa diri? Dulu perasaan sepi dan takut itu tidak pernah ada
dalam kamus hidupnya.
Semasa dia memasuki rumah agam Musa Martin dahulu dia
terlalu berani. Perlahan-lahan mindanya mulai mengembara, mengingat kisah
tragis malam kematian Martin.
Lelaki itu berada di meja study, di perpustakaan rumah
agamnya. Dia duduk menghadapi laptop sambil menaip sesuatu. Kharlissa masuk
perlahan-lahan melalui pintu, setelah dia mematikan sistem penggera. Dia amat
pakar dalam soal itu.
Kharlissa berjalan perlahan mendekati meja. Lelaki itu
terlalu asyik dengan laptopnya. Tidak sedar, ruang bilik itu sudah dicerobohi.
Kharlissa berjalan dengan senyap seperti kucing yang bijak mengendap mangsa,
walaupun mangsa itu lebih besar dan kuat daripadanya. Kucing itu tidak akan
mengalah!
“Siapa kau?” Ada getar rasa takut dalam suara Martin.
Kharlissa tidak menjawab. Hanya tangannya sahaja yang pantas
mengeluarkan senjata yang tersisip dipinggang.
Mata Martin memandang tajam ke arah batang tubuh Kharlissa
yang berdiri gagah di hadapannya. Wajah yang merah bagaikan udang dibakar,
serta merta jadi pucat apabila terlihat sepucuk pistol di tangan Kharlissa.
Telinganya menangkap bunyi ‘klik’ yang datang dari pistol
Kharlissa. Hujung pistol itu sudah dipasang alat penyenyap. Bila tembakan
dilepaskan dalam jarak yang kurang daripada dua meter, bunyi dentuman peluru
itu tidak akan kedengaran. Tidak akan membangunkan seisi rumah.
Dalam masa tak sampai sesaat terdengar bunyi berdesus
perlahan. Kemudian semuanya senyap kembali. Dahi Martin sudah ditembusi peluru,
tidak sempat mengelak langsung. Matanya separuh terbuka. Dan sebutir lagi
menembusi dada Martin. Dia terus lemah terkulai bagai bunga yang layu dalam
jambangan.
Darah berselerakan di kerusi dan karpet. Kharlissa
mengeluarkan secebis sketsa. Gambar bunga dandelion diselitkan dicelah-celah
buku di atas meja Martin. Asap pistolnya masih berkepulan kala Kharlissa
mencari jalan keluar. Jua dalam keadaan senyap. Saat yang mendebarkan itu
berlalu, sepantas kilat.
Tiba-tiba Kharlissa bingkas,
duduk di tepi tebing katil. Segalanya seperti mimpi bagi Kharlissa.
Bagaikan tidak percaya dia adalah pembunuh Martin. Ianya bagaikan mimpi yang
berulang kembali. Tetapi dia teringat lagi pada duit upah di dalam bank. Dia
kembali yakin bahawa itu semua bukan satu mimpi.
Entah mengapa penyesalan menyelinap perlahan-lahan ke sudut
hati yang paling dalam.
BERTUTUP
RAPAT! Bisik hati Khairul Rasheed semasa matanya memandang ke arah rumah
Kharlissa. Sudah seminggu dia tidak melihat wajah wanita muda yang jelita itu.
Selepas pertemuan pertama dahulu, dia sentiasa mengintai peluang untuk bertemu
tetapi wanita muda itu terlalu misteri. Sukar untuk didekati.
Khairul Rasheed menguap beberapa kali.
Matanya terasa berat. Dia kepenatan setelah dihambat tugas yang panjang. Pulang
lewat malam sudah jadi kebiasaan. Namun esok dan lusa, dia cuti sementara
menunggu tugasan lain. Dia akan berada di rumah. Biarpun keletihan, satu
keinginan lain muncul dari dalam relung otaknya sebaik sahaja masuk ke dalam
rumah. Dia terus bergerak ke meja tulis di sudut ruang tamu rumahnya lalu terus duduk. Komputer riba yang terletak
di situ segera dihidupkan.
Sebaik sahaja laptop itu dihidupkan,
tertera perkataan besar ‘HAK MILIK KERAJAAN MALAYSIA’. Kata-kata itu bagaikan
satu amaran bahawa dia tidak berhak menggunakan laptop itu untuk tujuan
peribadi. Namun hatinya begitu kuat mendesak. Jari-jemarinya pantas menari-nari
di atas keyboard. Dia memasuki laman sesawang Pendaftaran Negara. Dia boleh
memasuki mana-mana laman sesawang kerana memiliki kata laluannya.
Nama Kharlissa Yusuf ditaip melalui
kotak carian. Dia menanti beberapa saat. Tiada rekod tentang Kharlissa Yusuf
dari Pendaftaran Negara. Dahinya berkerut. Dia meneruskan usaha, pencarian demi
pencarian tanpa henti. Dia mencuba pula mencari dalam laman sosial facebook.
Tiada nama Kharlissa Yusuf.
KEESOKAN
hari sekitar jam sepuluh pagi, Khairul Rasheed melihat Kharlissa keluar dari
rumah. Sejak pukul lapan tadi, dia mengintai di tingkap dan berharap wanita
muda itu akan keluar. Dia sudah pun bersiap-siap awal. Tiada tuntutan tugas
menunggu sepanjang dua hari ini. Jadi dia ingin menggunakan kesempatan itu
untuk mendekati Kharlissa. Entah mengapa dia merasa terlalu ingin dekat dan
mengenali wanita muda yang menawan itu.
“Nak pergi kerja?” Tegur Khairul Rasheed semasa mereka
sama-sama berdiri di hadapan lif.
Kharlissa menggeleng.
“Shopping.” Jawab
Kharlissa tanpa memandang Khairul Rasheed di sebelahnya.
Mereka sama-sama melompat ke dalam gawang lif yang terbuka.
Mereka berdiri bersebelahan. Dan Kharlissa amat senang pada bau wangian Khairul
Rasheed. Bauan yang semakin sebati dengannya.
“Belum dapat kerja?” Khairul Rasheed terus bertanya.
Kharlissa menggeleng.
“Di KL banyak peluang kerja. Tapi saya rasa di Singapura tu
kehidupannya lebih liar, mencabar. Terkadang menakutkan bagi seorang wanita.”
“Agh! Tak payah nak ingatkan saya. Saya dah cukup dewasa.
Tak ada apa yang menakutkan saya jika saya terus berada di atas landasan yang
betul,” jawab Kharlissa.
Khairul Rasheed tertawa pendek. Terasa jawapan Kharlissa
agak sinis.
“Oh ya? Awak seorang wanita yang berani.”
Kau tak tahu sebenarnya, keberanianku yang dahulu begitu
menebal kian terhakis. Entah mengapa aku jadi takut pada hari-hari esok yang
bakal mendatang. Kata orang, kalau kita masih berada di hari semalam, bagaimana
mahu melangkah ke hari esok? Tolong ajari aku bagaimana melupakan hari semalam
yang pahit, tanpa sedar Kharlissa merenung sahaja wajah Khairul Rasheed sambil
berkhayal.
“Hei! Hei!” Khairul Rasheed menggoyangkan tangannya di
hadapan wajah Kharlissa.
“Kenapa awak renung saya?”
“Sorry,” mohon
Kharlissa dengan cepat.
“Bila hidup bersendirian, kita harus berani hadapi apa saja
kan?” kata Kharlissa.
“Maksudnya awak tak ada keluarga? Tak ada sesiapa?”
Kharlissa terperangkap dengan kata-katanya sendiri.
“Ya,” jawabnya lemah.
Sebenarnya aku masih ada ibu di sini. Tetapi aku tak tahu
samada dia masih hidup ataupun tidak. Bagaimanakah keadaan dia sekarang? Aku
tak tahu! Bisik hati Kharlissa. Wajahnya muram, tidak keruan.
“Maaf, saya tak tahu awak sebatang kara. Apa kata mulai hari
ni kita jadi kawan baik?” pinta Khairul Rasheed.
“Why not,” balas
Kharlissa.
Lif sudah pun tiba di tingkat bawah. Mereka sama-sama
bergerak keluar.
“Jom saya belanja
makan pagi. Tentu awak belum sarapan,” pelawa Khairul Rasheed.
“Tapi, bukankah awak
harus pergi kerja? Setiap pagi awak bangun awal untuk pergi kerja dan balik
lewat malam kan?”
Khairul Rasheed sedikit kagum. Jadi, Kharlissa tahu dia
selalu pergi kerja di awal pagi dan pulang lewat.
“Saya cuti dua hari,”
jawab Khairul Rasheed ringkas.
Kharlissa diam. Namun otaknya ligat memikirkan jenis
pekerjaan lelaki di sisinya itu. Bekerja penuh dalam seminggu kemudian cuti dua
hari pada hari Isnin dan Selasa? Bukankah pelik? Bermakna dia bukanlah pekerja
di pejabat kerajaan ataupun swasta. Mungkin kerja kilang? Agh! Tak mungkin.
“Macamana dengan pelawaan saya tadi? Atau awak dah minum di
rumah?”
Kharlissa menggeleng.
“Buat masa sekarang di rumah saya belum ada cerek,” jawabnya
sambil melepaskan ketawa geli hati. Dia benar-benar lupa membeli cerek ataupun
flash elektrik.
“Awak ada kereta sendiri?” Tanya Khairul Rasheed apabila
mereka berada di ruang parkir di hadapan kondominium.
Kharlissa menggeleng. Otak Kharlissa ligat memikirkan
duitnya di dalam Swiss Bank. Ada lebih kurang 5 juta Euro. Dan di dalam bag
tangannya sekarang ada lebih kurang 10 ribu Euro. Dia perlu pergi ke pengurup
wang untuk menukar matawang Malaysia. Apabila ditukar kelak akan cukup untuk
membeli sebuah kereta baru keluaran tempatan.
“Naik kereta saya saja. Lepas sarapan saya akan hantar awak
ke mana saja yang awak mahu.”
Kharlissa memandang
tajam wajah Khairul Rasheed. Dia diam, masih tiada jawapan. Khairul
Rasheed berpaling padanya dan berkata; “Percaya pada saya. Saya bukannya nak
bawa awak lari. Lagipun rumah kita saling berhadapan. Ingat! Kita berjiran.
Saya orangnya sangat baik!” Khairul Rasheed memuji diri sendiri.
Kharlissa tertawa kecil.
“Saya tak kata pun awak orang jahat,” balas Kharlissa.
Aku tahu caranya bagaimana menangani orang jahat. Aku bukan
kosong dada dengan ilmu mempertahankan diri. Masalah aku, tidak pandai berkawan
dengan orang yang baik macam kau, Khairul Rasheed! Sambungnya di dalam hati.
“Tapi cara awak pandang saya macam saya ni orang jahat yang
tak boleh dipercayai. Yang jelas saya bukan perompak,” kata Khairul Rasheed
sambil mengangkat tangannya yang bersih.
Kharlissa tertawa kecil. Seorang penjahat takkan mengaku
dirinya orang jahat.
Sebenarnya Kharlissa
tidak biasa berkawan dengan lelaki. Sebelum ini dia tidak pernah takut pada
sesiapa. Namun bersama jiran barunya ini ada sedikit rasa sangsi bertapak di
hati. Pun dia tidak dapat menjauhkan diri dari lelaki ini. Entah mengapa
dadanya bergementaran kala mereka berbalas pandang. Sejak berkenalan pada
minggu lepas fikirannya agak terganggu apabila mengenangkan jejaka di
hadapannya itu.
Tidak lama kemudian kereta Toyota Camry Khairul Rasheed
membelah laju dalam hiruk pikuk kenderaan menghala ke Jalan Pahang. Kharlissa
di sisinya bersandar damai. Khairul Rasheed membawa Kharlissa ke Restoran
Haslam yang terletak di belakang Hospital Tawakal.
“Cubalah laksa penang di sini memang sedap,” kata Khairul
Rasheed semasa mereka sudah pun duduk saling berhadapan di dalam restoran itu.
Restoran Haslam sentiasa penuh dengan pelanggan. Namun
Khairul Rasheed duduk tanpa rasa terganggu. Kharlissa rasa tidak selesa.
Suasana di situ menggamit memori silam. Dia memerhati ke arah meja tidak jauh
darinya. Sebuah keluarga bahagia sedang menikmati makanan sambil berbual mesra.
Pelayan datang mengambil pesanan. Kharlissa membiarkan
Khairul Rasheed memilih makanan untuknya. Dia ingin merasakan keenakan laksa
penang seperti yang dikatakan oleh
Khairul Rasheed. Selepas menikmati sarapan, Khairul Rasheed menghantar
Kharlissa untuk membeli belah. Kharlissa menyangka mereka akan berpisah di
hadapan Berjaya Times Square. Namun Khairul Rasheed enggan membiarkan dia
bersendirian.
Ada sesuatu bakal terjalin antara aku dan dia, bisik hati
Kharlissa. Dia yakin dan percaya pada kata hatinya yang tidak pernah berbohong.
Aku yakin pada naluriku ini. Aku sukakan dia! Bisik hatinya,
sambil matanya memandang Khairul Rasheed yang setia berjalan di sisinya.
Tapi apakah dia memiliki perasaan yang sama?
Tiba-tiba telefon bimbit Khairul Rasheed berbunyi. Pantas
dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar. Kharlissa mendengar
Khairul Rasheed bercakap dengan seseorang. Nadanya kedengaran tergesa-gesa;
“Oh, aku cuti hari ni. Kenapa?”
“Tolong jangan kacau aku dengan urusan kerja,” suaranya kedengaran sedikit
tegas.
“No... no. Tak
boleh. Aku tengah busy ni. Sorry,” katanya sambil terus menutup
panggilan itu.
“Awak nak shopping apa hari ni?” dia berpaling pada Kharlissa.
“Sebenarnya saya nak beli laptop,” beritahu Kharlissa.
“Kalau macam tu, saya temankan awak pergi ke Plaza Low Yat.
Dekat je dari sini. Jom.” Spontan Khairul Rasheed menarik tangan Kharlissa.
Aneh Kharlissa membiarkan sahaja tangannya diheret. Dia
tidak mengerti mengapa apabila mereka saling bersentuhan dadanya terus berdebar
dengan kencang.
TAMAN SETIA, GOMBAK.
TERLALU
banyak kesilapan dalam hidupku... keluhnya seorang diri sambil merenung kolam
ikan emas yang beriak perlahan. Ikan-ikan emas di dalam kolam kecil itu
berenang bebas. Namun hatinya tetap rasa gundah gulana biarpun angin bertiup
perlahan membelai wajah.
Sejak pulang ke Malaysia, tiada keceriaan di wajahnya lagi.
Semua itu sudah sirna. Dia masih terkenangkan peristiwa tragis yang berlaku dua
minggu yang lalu. Walaupun dia terselamat daripada tuduhan membunuh suaminya
sendiri, namun dia merasakan tiada kegembiraan lagi yang bakal menyapa.
Hidupnya tidak mungkin dapat diperbetulkan semula lalu kebahagiaan itu dapat
dia kecapi kembali.
Dia melepaskan keluhan. Rambutnya yang jatuh di pipi dikuak
perlahan. Matanya memandang jauh ke langit membiru. Pagi ini langit cerah dan
matahari baru muncul.
“Linda! Jom kita sarapan,” laung wanita berusia awal enam
puluhan dari arah pintu sisi rumah banglo dua tingkat itu.
Linda bangun tanpa suara. Dia mendekati wanita yang dipanggilnya
mami yang duduk di salah sebuah kerusi
di bawah pergola. Pembantu rumah sedang menghidang minuman. Di atas meja
terdapat roti, mentega dan jem. Sarapan tipikal orang-orang yang kota. Kalau di
kampung pasti lain keadaannya. Sebelum turun ke sawah ladang, pasti akan
dijamah nasi goreng, pulut dengan ikan kering ataupun lempeng kelapa.
Linda jadi teringat pada kampung halamannya... Sudah
demikian lama dia lupa pada asal usulnya. Dan dia berpura-pura bahagia menjadi
orang kota besar. Sudah hampir sepuluh tahun berada di luar negara.
“Apa yang dimenungkan sejak pagi-pagi tadi, Lin?” tanya
Datin Zora sambil tersenyum memandang wajah wanita yang dianggapnya bagaikan
anak sendiri.
Linda berusia empat puluh empat tahun, masih cantik. Namun
kebelakangan ini dia jarang bersolek. Selepas dia kehilangan suami dengan cara
yang paling mengejutkan. Mati dibunuh. Dia seperti hilang semangat untuk meneruskan hidup.
“Entahlah mami...”
“Lupakanlah cerita pahit tu, Lin. Kau perlu teruskan hidup
kau. Kau masih muda.”
Linda melepaskan keluhan. “Tiba-tiba pagi ni saya
teringatkan anak saya, mami.”
“Anak?” Datin Zora mengerutkan keningnya.
Dia benar-benar kehairanan dan terkejut. Selama ini tidak
pernah Linda menyebut soal anak. Memang dia tahu Linda pernah menikah sebanyak
dua kali. Perkahwinan pertamanya menemui kegagalan. Suami wanita itu pulang ke
tanahairnya, tetapi tidak pernah kembali ke pangkuan Linda. Dia melayan rasa
kecewa dan pernah cuba membunuh diri tetapi diselamatkan oleh Dato’ Salihin.
Sejak itu mereka mengganggap wanita itu sebagai anak.
Kebetulan pula mereka hanya ada seorang anak lelaki. Beza
usia antara anak lelaki tunggal Dato’ Salihin dan Datin Zora dengan Linda
memang jauh jaraknya, tetapi hubungan antara mereka cukup mesra. Semasa pertama
kali Linda datang ke rumah itu, anak lelakinya berusia dua belas tahun.
Linda sering kali mengikut Datin Zora ke luar negara.
Akhirnya dia bertemu jodoh dengan Martin, salah seorang rakan perniagaan Dato’
Salihin.
“Saya pernah ada anak,” beritahu Linda dengan suara yang
tersekat-sekat.
“Tapi kau tak pernah sebut pasal dia sebelum ni. Perempuan
atau lelaki anak kau tu?” kata Datin Zora.
“Perempuan. Masa saya tinggalkan dia umurnya 10 tahun lebih
kurang,” beritahu Linda.
“Mungkin ni satu sumpahan pada saya, mami. Sebab saya
tinggalkan dia macam tu je. Sumpahan tu sentiasa mengikut saya ke mana saja
sehingga saya takkan hidup aman dan bahagia, buat selama-lamanya.”
“Jangan cakap gitu, Lin. Mana ada sumpahan. Kita takkan mati
kerana sumpahan tu. Dan bukan sumpahan itu yang mengawal ataupun menentukan
hidup kita. Segalanya sudah ditentukan Allah.”
Linda menarik nafas perlahan-lahan.
“Mami, saya nak keluar sekejap,” katanya meminta izin dengan
lembut sambil bangun.
“Kau nak ke mana?” tanya Datin Zora kerisauan. Kelihatan
kerut yang jelas di dahinya.
“Mami! Jangan risau... Saya takkan bunuh diri lagi macam
dulu!” kata Linda separuh gurau dan separuh serius.
Datin Zora jadi bertambah risau.
“Jangan bergurau soal hidup dan mati, Lin!”
“Beri saya kunci kereta mami,” pinta Linda bersungguh-sungguh.
“Ok, tapi pandu elok-elok ya! Kau dah lama tak memandu
sendiri di KL ni. Tak pun minta driver yang hantar,” kata Datin Zora tidak
dapat menghapus rasa bimbang.
“Tak payahlah. Saya yakin masih boleh memandu sendiri,”
balasnya sambil berlalu.
Empat puluh minit kemudian Linda sudah berada di Jalan
Silang, kemudian meneruskan perjalanan melalui bulatan Puduraya. Dia memandang
ke arah bangunan Puduraya. Suasana di situ jauh sekali perubahan dengan enam
belas tahun yang lalu. Dia seakan-akan terkejut melihat pembangunan yang begitu
pesat. Sudah lama sekali dia tidak datang ke situ.
Linda mencari tempat untuk meletak kereta. Akhirnya menemui
petak kereta kosong. Tidak lama kemudian dia menyusuri jalan menghala ke
bangunan puduraya. Matanya memerhati sekeliling. Suasana benar-benar diluar
jangkauan fikirannya.
Suatu masa dahulu tempat ini sesak dengan orang ramai. Bukan
hanya sesak, tetapi juga kotor. Tetapi kini suasana begitu menyenangkan. Dia
berdiri di satu sudut, memerhati sekeliling. Mencari jejak yang hilang. Mencari
seseorang yang tak mungkin akan ditemui lagi di situ.
Di mana kau anakku? Bahagiakah hidup kau sekarang? Ibu harap
hidup kau bahagia dan gembira. Ibu amat berharap kau tidak menyalahkan ibu
kerana meninggalkan kau. Airmata Linda tergenang. Dia cuba menahan airmatanya
dari berguguran. Namun gagal. Akhirnya airmata yang telah ditahan sekian lama
gugur jua di pipi, semakin lebat hingga seluruh wajahnya basah.
Linda tidak sanggup untuk berada lebih lama di situ. Dia
terus mengorak langkah meninggalkan tempat itu, tidak menoleh ke belakang lagi.
“LAPTOP
dah dapat. Apa lagi yang awak nak beli?”
“Eh, awak nak terus ikut saya?” tanya Kharlissa hairan
dengan sikap Khairul Rasheed.
“Ya la, saya nak temankan awak sepanjang hari ni. Boleh?”
Kharlissa diam dan menggigit bibir. Dia ingin pergi ke suatu
tempat, tetapi dia lebih suka pergi seorang diri.
“Awak tak ada girlfriend
ke?”
“Hmmm, saya ramai kawan perempuan tapi yang special tak ada,” jawab Khairul Rasheed.
“Saya tak percaya. Awak seorang lelaki yang baik hati, kacak
dan menarik. Takkanlah tak teman wanita.”
“Apadia? Cuba ulang sekali lagi kata-kata tadi,” kata
Khairul Rasheed sambil tertawa kecil.
“Kenapa saya perlu ulang? Kan awak dah dengar dengan jelas
maksud saya.”
“Saya suka dengar awak kata saya baik hati, kacak dan
menarik. Sebenarnya saya pun rasa awak seorang yang istimewa dan menarik.”
Wajah Kharlissa merah padam. Dia tidak sedar bahawa dia
telah mengungkap pujian yang membuat Khairul Rasheed teruja. Lalu lelaki itu
juga mulai memuji dirinya melambung tinggi. Aduh! Apa yang aku dah buat ni?
Keluh Kharlissa.
“Biar saya berterus-terang. Saya bukan berniat nak puji awak
pun. Saya macam tak percaya awak tak ada kekasih.”
“Saya juga tak percaya awak tak ada kekasih.”
“Siapa kata saya tak ada kekasih?” balas Kharlissa dengan
pantas.
Dia tidak ingin Khairul Rasheed menyimpan harapan
terhadapnya. Sama seperti dirinya yang tidak ingin menggantung sebarang harapan
kepada lelaki itu. Dia tidak inginkan sebarang hubungan akrab biarpun hati meronta-ronta
inginkan sebuah ikatan yang suci dan abadi. Namun keadaan tidak akan
mengizinkannya sama sekali.
“Jadi, awak ada kekasih di Singapura sana?”
Kharlissa menggigit bibir kemudian berkata, “Tak.Tak ada
sesiapa di hati saya. Saya cuma tak selesa bila bersama dengan awak. Tu saja.”
“Kenapa?”
“Saya tak tahu kenapa... Saya tak ada jawapannya,” jawab
Kharlissa.
“Okey,” Khairul Rasheed mengangguk cuba untuk mengerti
mengapa Kharlissa berperasaan begitu bila bersamanya.
Biarkan Khairul
Rasheed pergi meninggalkannya, bisik hati Kharlissa. Mereka hanya boleh
berhubung sebagai kawan. Tidak perlu terlalu rapat.
“Saya pergi dulu. Maaf kalau sikap saya kurang
menyenangkan.”
Wajah lelaki disaluti rasa kecewa. Kharlissa diam sahaja,
lidahnya kelu. Dia langsung tidak menahan lelaki itu dari berlalu pergi.
Kharlissa meneruskan langkah sendirian, masuk dari satu
kedai ke satu kedai. Namun dia sendiri tidak pasti apa yang mahu dicari.
Biarpun Khairul Rasheed berlalu pergi dari sisi Kharlissa,
namun dari kejauhan dia mengawasi setiap
langkah wanita muda itu. Akhirnya sekitar jam dua petang, Kharlissa pulang
dengan menaiki teksi setelah membeli beberapa pasang baju baru di Berjaya Times
Square. Satu kepuasan baginya setelah berjaya menghabiskan ratusan ringgit
untuk baju-baju tersebut.
Kala tiba di hadapan pintu rumah, matanya sempat menjeling
ke arah rumah Khairul Rasheed yang bertutup rapat. Dia masih belum pulang.
Entah ke mana dia pergi. Kesalkah dia kerana bersikap dingin dengan lelaki itu?
Mungkin ada sedikit rasa menyesal... bisik hati Kharlissa sambil memasukkan
kunci ke dalam lubang pintu.
DUA
MINGGU KEMUDIAN
Setiap
hari Kharlissa memerhati ke arah rumah Khairul Rasheed yang sentiasa bertutup
rapat. Sejak dua minggu lepas jua lelaki itu tidak pulang-pulang. Ke manakah
dia pergi? Mengapa aku tidak pernah nampak dia keluar bekerja ataupun pulang ke
rumah meskipun pada lewat malam? Hati Kharlissa sentiasa di penuhi dengan rasa
ingin tahu.
Kharlissa masih belum punya pekerjaan.
Dia sendiri tidak tahu kerja apakah yang sesuai dengannya. Dia tiada kemahiran
lain selain daripada kemahiran menggunakan senjata api. Lalu dia menghabiskan
masa dengan melukis. Dia agak berbakat dalam bidang seni lukis. Mulanya dia
hanya melukis sketsa bunga kesayangannya, bunga Dandelion. Sesetengah orang
menganggap, bunga dandelion adalah satu anugerah cinta yang akan memberi
kebahagiaan yang berpanjangan serta janji setia buat selamanya. Namun bagi
Kharlissa, bunga Dandelion bermaksud
keindahan yang sementara, apabila musim berganti ia akan menemui kehancuran.
Tiada nilai kasih sayang apabila bunga
kuning yang indah itu akan cepat layu, yang akan hilang apabila ditiup angin.
Dari sketsa lukisan pensil, Kharlissa
mulai berjinak-jinak dengan kanvas dan warna-warna akrilik. Semakin lama,
Kharlissa semakin asyik dengan hobi barunya, mencalit warna di kanvas putih.
Namun dia tidak pernah melukis subjek lain selain daripada bunga dandelion.
Suatu pagi semasa dia sedang asyik
dengan lukisannya, dia terdengar bunyi gril yang menjerit apabila ditolak. Dia
tersentap, spontan matanya memandang ke arah rumah Khairul Rasheed.
Dia dah balik? Ke mana dia menghilang
selama dua minggu? Bertugas di luar daerah ataupun sengaja mahu menjauhkan
diri. Kharlissa bergegas, menghala ke tingkap hadapan dan mengintai sedikit
dari celah langsir.
Khairul Rasheed sedang membuka pintu.
Beg pakaian sederhana besar diletakkan di sisi. Dia terus membawa beg pakaiannya
masuk ke dalam, menutup pintu serapat-rapatnya tanpa sekilas pun menoleh ke
arah rumah Kharlissa. Kharlissa merengus kesal.
Ehhh... kenapa aku pula yang rasa tidak
senang? Bukankah baik begitu? Dia telah pun menjauhkan diri. Tugasan menjadi
alasan paling logik, fikir Kharlissa.
Kharlissa berjalan longlai menghala ke
bilik belakang yang dijadikan studio tempat dia melukis. Dia baru sahaja duduk
di kerusi, kemudian terdengar bunyi ketukan di pintu. Dalam kepalanya, sudah
melantun nama Khairul Rasheed. Bergegas dia ke pintu dan membukanya dengan agak
rakus.
“Kay...” Serunya tanpa sedar, tetapi di
luar bukan Khairul Rasheed.
Seorang anak muda berdiri di hadapan
pintu sambil memegang sebuah bungkusan.
“Dari kurier servis. Ada bungkusan
untuk Cik Kharlissa Yusuf. Tandatangan di sini,” pintanya sambil menunjuk ke
arah tempat yang perlu ditandatangani.
Kharlissa hairan dan tertanya-tanya.
Bungkusan itu daripada siapa dan mengapa? Dengan terburu-buru Kharlissa membuka
bungkusan itu, terlalu ingin tahu isi di dalam.
“Assignment?”
Dia meneguk air liur pahit.
“Oh
my god! Kenapa harus ada assignment
lagi apabila aku dah berhenti!” Kharlissa hampir-hampir menjerit seorang diri.
Dia merenung sampul surat coklat di
hadapannya. Di atas sampul itu tercatat nama Maxy. Maxy berjaya menjejakinya
walaupun ke mana dia pergi.
“I
don’t believe it! Kau dah janji Maxy! Kau dah janji yang kau benarkan aku
berhenti.” Kharlissa bercakap sendiri sambil menggelengkan kepalanya.
Damn
you Maxy!
Bab 5
KHARLISSA
duduk di tempat yang sama semasa dia ditinggalkan ibunya enam belas tahun
lampau. Walaupun suasana di puduraya itu sudah jauh berubah, tapi dia masih
ingat tempat dia ditinggalkan.
Ibu! Ibu penipu! Kenapa ibu tak datang
semula di sini? Kenapa ibu harus pergi?
Hati Kharlissa terus terusan menyoal.
Tiada jawapan pasti. Jawapan itu hanya ada pada ibunya.
“Sayang, tunggu ibu di sini. Ibu sakit
perut. Ibu nak pergi tandas. Kejap lagi ibu datang,” kata ibunya sambil
mengusap lembut rambutnya.
Kemudian dia mencium pipi Kharlissa
dengan lembut. Pergelangan anak itu dipegang lalu dia memasukkan wang sebanyak
sepuluh ringgit di dalam genggaman.
“Simpan duit ni! Ibu pergi kejap je...”
kata ibunya lalu terus tergocoh-gocoh berlalu.
Dia hanya memerhati hingga ibunya
hilang dalam pusuan orang ramai.
Kharlissa membuka cermin matanya. Dia
menyeka airmata yang mengalir perlahan dengan sehelai tissu. Kemudian pantas
mengenakan kaca mata hitam semula. Dia memandang jauh. Semua wajah asing. Tiada
lelaki yang dicintainya dicelah-celah orang ramai. Tiba-tiba ada rasa rindu
mengusik hatinya. Sudah beberapa minggu Khairul Rasheed pulang namun mereka
belum punya kesempatan untuk bertemu.
“Cik adik! Cik adik perlukan teman?”
Tegur seorang lelaki pertengahan usia. Misai tebalnya terangkat. Dia tersengih
mempamer gigi.
“Get
out of here,” balas Kharlissa separuh berbisik.
Dia memandang jijik pada lelaki yang
duduk di sisinya.
Lelaki itu tidak peduli. Dia duduk kian
rapat dengan Kharlissa. Matanya menjeling ke arah dada wanita muda itu, yang
dibaluti baju panas sendat berwarna pink. Mata nakal itu turun ke bawah, ke
arah pahanya yang dibaluti seluar jean hitam ketat. Akhirnya mata itu jatuh
pada kasut but kulit coklat yang nampak mahal sekali. Dimiliki bukan sebarang
orang melainkan orang yang berduit dan suka bermewah-mewah.
“Wow! Hot... seksi!” Katanya sambil
tersengih lagi.
“Aku cungkil mata kalau kau pandang aku
macam tu lagi!”
“Huh! Singa betina rupanya!” kata
lelaki itu sambil bangun, bergerak lambat meninggalkan Kharlissa namun dia
masih memandangnya dari jauh.
Kharlissa tidak peduli. Dia bangun,
bergerak meninggalkan terminal itu. Kharlissa pulang dengan menaiki tren.
Sebaik tiba di rumah dia terus membuka laptop. Menaip di laptop perkataan ‘I hate you, mom’ hingga beribu-ribu
ayat. Hingga memenuhi ruang laptopnya. Dia penat. Dia hanya ingin tidur dan
melupakan ibunya. Rasa benci dan rindu tindih menindih mendera perasaan. Dia
ingin bebas dari rasa tertekan itu dengan segera. Lalu rasa rindu segera
mengatasi rasa benci yang beramukan dalam dada. Kharlissa menangis lagi.
Airmatanya begitu murah sekali sekarang.
Kian lama esakannya kian kuat. Dia
meraung, tidak peduli dan tidak kisah jika raungan itu didengari orang lain.
Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu
rumah. Kharlissa terkejut. Dia memerhati sekeliling, tangisan terhenti secara
automatik. Dia berjalan lambat menghala ke pintu, membiarkan wajah yang basah
dengan airmata. Dia tidak peduli jika ada yang melihat matanya yang merah dan bengkak.
Pintu dikuak. Dia terkejut, Khairul
Rasheed berdiri di luar. Wajahnya tampak berkerut, hairan.
“Awak tak apa-apa ke?”
Kharlissa tidak menjawab. Hatinya
terlalu sedih hingga suaranya hampir tidak terluah. Rasa ingin peluk sahaja
tubuh Khairul Rasheed, ingin membenam duka di dada bidang lelaki itu. Tapi itu
semua khayalan Kharlissa sahaja. Tubuhnya kaku seperti patung.
“Saya dengar awak meraung. Apa dah
jadi?”
Apa yang harus dijawab? Kharlissa
bingung. Airmata kembali menuruni pipi.
“Kenapa ni?” Khairul Rasheed memegang
kedua-dua belah bahu Kharlissa dan menggoncangnya perlahan.
Kharlissa menangis seperti kehilangan
seseorang, fikir Khairul Rasheed. Apakah dia kehilangan satu-satunya waris
terdekat? Mungkin.
“Saya... errr... mak saudara saya
meninggal!” Akhirnya Kharlissa mendapat ilham untuk membohongi Khairul Rasheed.
Lelaki itu mengerut dahi. Tidak
percaya. Masakan kerana kematian mak saudaranya, dia akan meraung sebegitu
rupa. Kebetulan ketika itu, Khairul Rasheed berada di hadapan rumah. Dia
berniat ingin keluar makan kala terdengar Kharlissa meraung. Raungan yang
sungguh pilu. Kepiluan itu dapat dirasai Khairul Rasheed.
“Awak nak pergi melawatnya? Saya boleh
tolong hantarkan kalau awak sudi.”
Kharlissa menggeleng.
“Tak mengapa. Saya terlewat
mengetahuinya. Saya baru berchatting dengan cousin
saya di facebook. Dia meninggal tiga
hari lepas.” Pembohongan demi pembohongan terpaksa direka.
Khairul Rasheed mengangguk.
“Saya nak pergi makan. Awak nak pesan
apa-apa?”
“Hmmm... boleh saya ikut awak? Saya
lapar. Saya tak sarapan pagi tadi,” kata Kharlissa sambil memegang perutnya.
“Apa salahnya. Jom.”
“Tunggu saya cuci muka dan letak make-up sikit. Muka saya teruk, mata
pulak dah bengkak.”
“Okey, saya tunggu awak kat bawah.”
Khairul Rasheed terus bergerak menghala
ke lif. Dia menunggu Kharlissa turun.
Kharlissa pura-pura ceria sepanjang
bersama dengan Khairul Rasheed. Mereka makan tengahari di Restoran Hasan Sup di
Jalan Pahang. Restoran itu terletak di belakang Masjid Setapak.
Amat sedikit sekali Kharlissa makan.
Sup ekor yang panas dan enak tidak mampu menjulang seleranya. Fikirannya
berkecamuk memikir assignment yang
diberikan oleh Maxy. Bait tulisan di surat yang dititipkan Maxy masih
diingatnya dengan jelas.
Carra,
kau adalah pembunuh upahan terbaik. Aku percayakan kau. Aku tak boleh serahkan
tugasan ini pada orang lain. Aku tak suka kegagalan. Aku tahu kau takkan
hampakan aku kerana kau seperti anakku. Tentu kau tak mahu kecewakan bapamu
bukan? - Maxy
Kharlissa tidak boleh meninggalkan nama
Carra lantaran dia telah terhutang budi pada Maxy. Tanpa Maxy mungkin dia sudah
pun mati. Dia tidak mungkin dapat mengelilingi hampir separuh dari dunia ini
jika bukan kerana Maxy. Dia akan sentiasa menjadi Carra yang kejam walaupun di
saat yang sama dia ingin menjadi Kharlissa yang penyayang. Kharlissa yang sudah
mulai jatuh cinta...
Kharlissa mengeluh dengan agak kuat,
menolak mangkuk sup yang baru luak separuh ke tepi.
Dia terbayang raut wajah lelaki yang
bakal dibunuh. Gambarnya telah pun diterima Kharlissa, dikirim Maxy dari
destinasi yang tidak diketahui. Wajah lelak itu bermain dalam mindanya kini,
tindih menindih dengan wajah Martin.
Selera Kharlissa semakin hilang. Dia
meneguk minuman hingga tinggal separuh gelas. Gelas itu terasa begitu besar dan
isinya masih banyak sedangkan perut Kharlissa terasa penuh dan dia hampir-hampir
termuntah. Dia memerhati Khairul Rasheed yang berselera sekali menghirup sup
dan nasi putih.
“Dah lama saya nak tanya, awak kerja
apa Kay?”
Khairul Rasheed berhenti menghirup sup.
Dia memandang wajah Kharlissa kemudian tersenyum.
“Saya dalam bidang pemasaran,” jawab
Khairul Rasheed.
Dia memang sudah menyediakan jawapan
itu sejak mula, sekiranya Kharlissa bertanya. Bidang pemasaran jawapan termudah
dan dia tidak perlu menjawab soalan-soalan lain. Bidang yang memaksa seseorang
bergerak aktif ke mana sahaja yang diarahkan syarikat. Kerja tidak tentu masa.
Kharlissa mengangguk lambat. Dia tidak
akan bertanya lagi.
“Awak?” Khairul Rasheed memulangkan
pertanyaan.
“Macam yang awak tengok, saya masih
lagi seorang penganggur. Penganggur terhormat,” jawab Kharlissa.
Khairul Rasheed ketawa.
“Saya tak percaya,” katanya seperti
mencabar.
“Mesti awak ada kerja yang hebat
sebelum ni. Beritahu saya, awak kerja apa semasa duduk di Singapura.”
“Dulu saya seorang penari. Lepas tu
saya jadi guru tarian di sebuah sekolah ballet,” kata Kharlissa berbohong.
Perhubungan mereka penuh dengan
pembohongan. Kharlissa dapat merasakan bahawa dia semakin bosan terpaksa
membohongi Khairul Rasheed. Dia percaya lelaki itu tidak akan mengujinya dengan
menyuruh dia menari ballet. Dia langsung tidak pandai.
“Hebat! Seorang penari ballet. Saya tak
pernah terfikir pun awak sebagai seorang penari ballet. Pernah buat
persembahan?”
“Dah tentu. Agak jauh juga saya telah
mengembangkan sayap. Eropah, Cina dan Jepun,” kata Kharlissa dengan yakin.
Sebenarnya dia ke sana bukan sebagai
seorang penari tetapi sebagai pembunuh upahan.
“Saya juga sudah pergi ke negara yang
awak sebutkan tu,” balas Khairul Rasheed.
“Membawa produk syarikat tentunya?”
teka Kharlissa.
“Sebenarnya saya menjual sistem
komputer,” Khairul Rasheed mengerdipkan matanya beberapa kali.
Tidak selesa apabila berbohong begitu.
Dia pergi keluar negara kerana tugas untuk negara. Tetapi dia tidak boleh
mengkhabarkan hal itu kepada sesiapa, hatta kalau dia beristeri sekali pun.
Ianya adalah satu rahsia besar. Hampir dua tahun sudah dia menyertai unit PGK. PGK biasanya
menjalani latihan bersama dengan unit seperti Rejimen Perkhidmatan Khas
Australia, British SAS dan FBI, khususnya dalam menangani kes penculikan,
rompakan dan penempak tepat (sniper).
Memang Khairul Rasheed amat terlatih dalam bidang ini.
Sebagai anggota polis
dalam unit khas ini dia memang terikat
dengan tugas. Dia harus sentiasa bersedia untuk menghadapi tugas pada bila-bila
masa. Tidak kira siang atau malam, apabila dipanggil bertugas oleh Ketua
Pengarah, hal-hal peribadi akan ditolak ke tepi. Dia tidak pulang ke rumah dalam tempoh yang lama apabila
melaksanakan sesuatu misi. Kemudian dia akan mendapat cuti panjang. Hal itu
amat adil bagi Khairul Rasheed dan dia sangat menyenangi malah mencintai
setengah mati kerjayanya.
“Malam minggu ni ada kawan saya yang
sambut majlis hari lahir. Kalau sudi, saya nak ajak awak temankan saya.
Macamana? Sudi tak?” dia sengaja menukar haluan perbualan.
“Hmmm, entahlah...” balas Kharlissa
teragak-agak untuk menerima pelawaan itu.
Tak payah fikir-fikir Kharlissa. Pergi
saja! Ni peluang kau untuk kenal dia. Kau boleh kenal dia melalui teman
rapatnya. Kau akan boleh mengagak siapakah dia dengan mengenali orang-orang
yang didampingi lelaki itu. Mungkin tanpa sengaja teman-temannya akan berbicara
tentang kerjaya, keluarga atau sesuatu yang bersifat peribadi. Maklumat pasti
akan diperolehi kalau dia memainkan watak mesra, ramah dan baik hati, bisik
Kharlissa sendiri di dalam hati.
Aku yakin dia berbohong tentang
pekerjaannya. Beberapa kali dia mengerdipkan mata, seperti tidak selesa. Dia
sedang berbohong. Ada sesuatu yang sedang disembunyikannya. Dia bukan seorang
pegawai pemasaran yang biasa. Aku yakin! Kharlissa menggenggam tangannya
sendiri dengan kuat.
Kharlissa sengaja menyentuh gelas
dengan hujung siku. Pantas dan cekap
Khairul Rasheed menangkap gelas itu agar isinya tidak tertumpah. Dia
mengalihkan gelas itu di tempat yang selamat, supaya tidak tersentuh lagi.
Tangannya sangat tangkas. Dan dia
bertindak tanpa teragak-agak, tepat pada masanya, bisik hati Kharlissa lagi.
“Okey, saya harap sangat awak akan
setuju. Saya yakin awak akan enjoy.”
“Hmmm, baiklah saya ikut awak pergi
majlis tu. Saya pun tak buat apa-apa malam minggu nanti.”
Khairul Rasheed tersenyum lebar
mendengar kata-kata Kharlissa.
Macam tulah! That my girl! Ucap Khairul Rasheed di dalam hati. Dia gembira,
benar-benar bahagia dapat bersama dengan Kharlissa ke parti harijadi salah
seorang teman baiknya.
“NI kawan baik saya, Doktor Razin,” Khairul Rasheed
memperkenalkan Kharlissa dengan tuan rumah.
Mereka baru tiba di rumah banglo
pasangan doktor tersebut bagi meraikan majlis hari lahir. Doktor Razin dan
isterinya Doktor Najwa berdiri di hadapan pintu utama rumah banglo, menyambut
kehadiran tetamu.
“Kharlissa,” Kharlissa menyebut namanya
sambil bersalaman dengan Doktor Razin dan isterinya.
“Wow, bukan senang nak tengok Kay bawa
pasangan ke majlis. Selalu tu datang tak pernah berteman,” komen Doktor Razin sambil
tertawa kecil.
Matanya tidak lepas dari memandang
wajah Kharlissa yang bersolek cantik. Kharlissa mengenakan gaun hitam mengikut
bentuk tubuhnya yang langsing. Gaun hitam kosong itu dihiasi hanya dengan
sedikit sulaman di bahagian dada. Bahunya terdedah, disapa angin malam. Leher
jinjang Kharlissa dihiasi kalung berlian yang berkilau. Terpukau setiap mata
yang memandang. Betapa elegen penampilan Kharlissa malam itu.
Khairul Rasheed hanya ketawa.
“Someone
special?” separuh berbisik Doktor Razin bertanya.
Pertanyaan itu singgah jua ke telinga
Kharlissa. Dia pura-pura tidak mendengar apa-apa. Namun hatinya agak senang.
Ini membuktikan bahawa Khairul Rasheed memang benar-benar tiada kekasih.
“Kawan je lah!” Balas Khairul Rasheed
perlahan.
Dia terus bergerak masuk. Kharlissa
turut berjalan di sisinya menuju ke ruang tamu yang luas. Sudah ramai orang
berada di ruang itu. Kelihatan mereka berbual sesama sendiri sambil menikmati
hidangan yang disediakan secara buffet.
Kebanyakan tetamu yang ada menegur
Khairul Rasheed dengan ramah dan mesra. Jelas mereka saling mengenali. Jemputan
yang hadir kebanyakannya adalah teman-teman rapat pasangan Doktor Razin dan
Doktor Najwa.
Majlis berlangsung meriah. Acara
makan-makan baru bermula. Khairul Rasheed mengajak Kharlissa mengambil makanan.
Kebanyakan makanan yang tersaji begitu enak, menambat selera.
Semasa sedang mengambil hidangan nasi
beriani, seorang lelaki mendekati Khairul Rasheed. Kharlissa memerhati wajah
lelaki itu. Dahinya berkerut. Di mana aku pernah lihat muka dia? Macam aku
kenal saja lelaki ni... fikir Kharlissa berlarutan.
“Apa khabar Kay?”
“Baik, Alhamdulillah Dato’,” balas
Khairul Rasheed.
“Hari tu I ada nampak you kat airport. Travel ke mana? Nak tegur tak sempat sebab you nampak macam kena
dek kejar hantu! Laju je berjalan.”
Khairul Rasheed tertawa.
“I bukan bercuti tapi kerja.”
“Outstation?”
Khairul Rasheed sekadar mengangguk,
tidak suka bercerita tentang tugas di dalam majlis seumpama itu. Apalagi di
sisinya ada Kharlissa. Dia berharap lelaki itu berbual setakat itu sahaja.
Bukan semua orang tahu tentang tugasnya. Dia memberitahu setiap orang dan
kenalan dia bekerja di bahagian pemasaran. Hanya ibubapa dan kakaknya sahaja
yang tahu kerjaya sebenar Khairul Rasheed.
Suatu masa dahulu, semasa bapanya masih
muda seusia Khairul Rasheed, dia juga bertugas dalam bidang ketenteraman awam.
Namun Dato’ Salihin sudah lama bersara dan terlibat dalam bidang perniagaan
pula.
Mata Dato’ Emmer beralih pula ke arah
Kharlissa di sisi Khairul Rasheed. Lelaki itu tersenyum memandang dan berkata;
“Nampaknya you dah ada teman
istimewa?”
Lantaran dia jarang ke parti dengan
gadis, kebanyakan orang menyangka Kharlissa teman istimewa Khairul Rasheed.
Memang Khairul Rasheed berharap hal itu akan menjadi nyata. Suatu hari nanti pasti
Kharlissa menjadi seseorang yang istimewa dalam hidupnya.
“Tak. Kami kawan saja. Kenalkan ini
Kharlissa.”
Dato’ Emmer menghulur tangannya ke arah
Kharlissa.
“Hello,” sapanya sambil tersenyum.
Kharlissa membalas senyumannya dan
tangan mereka bertaut. Perkenalan singkat itu berakhir dengan cepat apabila
lelaki itu meminta diri.
“Siapa dia?” Kharlissa berbisik
bertanya Khairul Rasheed.
“Dato’ Emmer.”
“Entah kenapa saya rasa macam pernah
nampak dia.”
“Di mana?”
“Entahlah. Di tv ataupun surat khabar
agaknya. Dia orang yang terkenal?”
Dia belum dapat mengingat di manakah
dia melihat wajah itu. Namun wajah itu seperti dikenalinya. Dia memerhati
lelaki itu dari jauh sedang leka berbual-bual. Kharlissa cuba memamah makanan
perlahan-lahan sambil otaknya terus bekerja.
Ya Tuhan! Aku dah ingat siapa dia!
Wajah Kharlissa pucat sejenak dan dia hampir-hampir menumpahkan makanan di
dalam pinggan.

No comments:
Post a Comment