Thursday, 24 November 2016

Bab 1
MANHATTAN, NEW YORK
20:05 Malam.
THIS is your last assignment...” Kata lelaki itu dengan nada tegas.
Suaranya yang garau menusuk ke telinga Kharlissa. Dia menggigit bibirnya dengan kuat. Memang sudah demikian lama dia menanti dirinya bebas daripada organisasi itu. Dia mahu pulang! Pulang ke tempat asalnya. Walaupun tanpa sebarang pekerjaan. Dia tidak memerlukan pekerjaan ini lagi... Tidak! Tugasan terakhir yang harus dia laksanakan dengan sebaik-baiknya.
Then I will be free?”
Yes, free as a bird.” Lelaki di hujung talian tertawa.
Tawa yang garau jua. Namun tawanya dengan cepat sekali hilang. Dia menyambung kata-kata yang terputus.
Someone will bring the information for you. Maybe now he was at your door.”
Serentak dengan itu, Kharlissa mendengar bunyi loceng pintu.
“Okey, I got it!” Jawab Kharlissa sambil menutup panggilan.
Dia bergegas menghala ke pintu. Daun pintu apartment kecilnya yang terletak di tengah-tengah kota Manhattan itu ditarik dengan rakus. Di luar dia tidak melihat sesiapa. Dia menunduk dan mendapati sebuah envelop besar berwarna colat gelap terdampar di hujung kaki. Dia membongkok, mengambil envelop itu dengan rakus. Kemudian menutup pintu secepatnya.
Kharlissa meletakkan envelop itu di atas meja. Dia tidak akan membukanya dengan segera. Buat seketika dia hanya memerhati ke seluruh ruang apartment kecil yang didiaminya sendirian sejak lima tahun yang lalu. Setiap perabot yang ada di situ sudah semakin dimakan usia. Lima tahun lalu sofa merah itu masih baru. Cantik dan mengujakan. Tetapi akhirnya sofa merah tua itu semakin memudar. Begitu juga dengan meja kopi yang tercalar di permukaannya. Namun Kharlissa sudah tidak peduli! Dia tidak akan menukar perabot yang baru! Dia akan meninggalkan tempat itu... Selama-lamanya.
Perlahan-lahan Kharlissa bergerak ke arah meja kopi. Envelop coklat gelap itu dicapai. Hujung envelop itu dikoyakkannya dengan cermat. Dia menarik beberapa keping gambar yang disertakan di dalam sampul surat itu. Kharlissa merenung gambar-gambar itu tanpa sebarang perasaan. Raut wajah lelaki itu tidak dikenalinya. Dia tidak pernah melihatnya seumur hidup. Ini adalah kali pertama dia melihatnya.
Di dalam sampul surat itu terdapat sedikit maklumat tentang lelaki itu. Berusia lima puluh dua tahun, mempunyai aset yang berharga, syarikat, rumah dan kereta mewah. Agak kacak walaupun kepalanya sedikit botak. Mempunyai isteri tetapi tidak punya anak. Isterinya, Puan Martin berusia pertengahan empat puluhan. Namun tidak terdapat gambar isteri lelaki itu. Tidak mengapa. Tidak penting untuk kenal dengan pasangan lelaki itu. Lelaki yang akan menemui kematian.
“Tak ada masalah,” Kharlissa berbisik pada dirinya sendiri.
“Kau adalah target yang mudah,” Dia berkata lagi seorang diri kemudian tersenyum. Senyumannya manis menggoda. Dua ulas bibirnya basah dan seksi, sentiasa  dipaliti lipstik merah darah.
Gambar dan maklumat itu segera dimasukkannya ke dalam sampul surat. Kemudian dia menyimpan sampul surat itu di dalam laci yang berkunci. Kharlissa segera bergerak masuk ke dalam bilik tidur, menukar pakaian. Sepasang seluar kulit hitam yang ketat dan berkilat disarungkan ke tubuh yang lampai. Jaket kulit hitam dizip hingga menutup pangkal leher.
Tugasan terakhirnya akan bermula. Dia tidak akan menunggu lama untuk melaksanakannya. Dia yakin pada keupayaan diri. Dia seorang wanita muda yang kuat dan tangkas. Dia hot, seksi tetapi merbahaya.
Kharlissa berdiri di cermin sambil merenung wajahnya yang bersolek cantik. Wajahnya sungguh menawan, wajah seorang wanita Asia. Bagi masyarakat di sini selalu menyangka dia berbangsa Cina ataupun Korea. Lebih-lebih lagi dia fasih berbahasa Kantonis, Korea, Inggeris
dan Sepanyol. Walau bagaimana pun dia juga bukan Melayu tulen. Ada darah campuran di tubuhnya. Darah seorang lelaki keturunan Jepun dan seorang wanita Melayu. Lelaki yang dia sendiri tidak pernah kenal! Lelaki yang meninggalkan ibunya hidup dalam penderitaan. Lelaki yang membuat ibunya hampir-hampir jadi gila.
Dia benci lelaki. Lelaki hanya pandai menghadiahkan penderitaan. Tapi sampai bilakah dia harus membendung rasa benci ini? Dia sendiri tidak tahu. Terkadang tumbuh jua keinginan di hati.  Dia ingin hidup normal. Bolehkah dia hidup seperti seorang wanita biasa?
Sejak kebelakangan ini soalan itu sering menghambatnya.
Kharlissa terus memaling wajahnya yang indah kala terasa ada sebutir titisan airmata jernih mengisi sudut mata. Hatinya jadi hampa dan sedih setiap kali mengingati kenangan silam. Tidak! Lupakan saja! Bisik hatinya berulang kali. Apa guna diingat segala kisah yang sudah menjadi sejarah.
Dia memandang ke arah tilam beralas comforter. Di situ terletak aman segala peralatan yang bakal dia gunakan. Tangannya bagaikan tidak sabar untuk menggenggam senjata yang menjadi teman karibnya sejak beberapa tahun lampau. Sejak dia diajar dan dilatih oleh Organisasi Maxy menjadi seorang pembunuh upahan!
Kharlissa pernah mendengar orang berkata, pekerjaan tertua di dunia adalah pelacuran. Tetapi Kharlissa tidak pernah melakukannya walaupun sekali. Dia masih unggul. Mungkin menjadi pembunuh upahan pekerjaan kedua tertua di dunia, fikir Kharlissa lagi. Sejak manusia lahir, mereka sudah tahu untuk saling memusnahkan demi kepentingan diri sendiri.
Lihat sahaja kisah Habil dan Qabil.
Seumur hidup Kharlissa, dia tidak pernah percaya kepada lelaki! Justeru itu Kharlissa tidak pernah punya teman lelaki, tidak punya saudara dan tidak punya ayah. Dan Kharlissa hanya kenal lelaki seperti Maxy. Dia adalah satu-satunya contoh seorang lelaki yang Kharlissa kenal dengan agak dekat. Maxy hanya memikirkan wang setiap saat.
Kharlissa juga tidak punya teman wanita. Wanita yang Kharlissa kenal hanya ibunya yang sudah dua puluh tahun meninggalkannya. Kharlissa terlontar seorang diri di tengah-tengah kota raya ini. Dan dia telah membuat keputusan untuk kembali ke tanah kelahiran ibunya. Dia harus mencari si ibu kandung... Dia mesti mencari wanita itu! Ada perhitungan yang belum selesai antara mereka! Dan Kharlissa ingin sekali bertanya kepada ibunya, kenapa dan mengapa dia ditinggalkan sendirian untuk mengharungi hidup? Ibu jenis apakah dia?
Mungkin jenis yang tidak sayang pada darah daging sendiri. Jenis manusia berhati kejam dan jahat, bisik hati Kharlissa sambil mencapai pistolnya. Dia memeriksa peluru yang ada di dalamnya. Ianya diisi penuh. Sedia untuk digunakan.












Bab 2
STESEN POLIS, MANHATTAN, NY
9:00 Siang

DETEKTIF Howard dan Sarjan Boone, masih berbual mengenai kejadian dua malam lepas. Satu lagi pembunuhan berlaku di satu kawasan kejiranan elit kota ini. Mangsanya seorang lelaki korporat yang terkenal. Dia berbangsa kulit putih, tetapi berkahwin dengan wanita Asia. Walaupun memeluk agama Islam namun cara hidupnya masih tidak berubah, tetap mengamalkan budaya hidup rakyat Amerika. Dia memiliki seorang wanita simpanan, kulit hitam. Citarasa lelaki itu memang pelik dan aneh.
“Apakah kita perlu mengaitkan pembunuhan Martin dengan perempuan simpanannya?” tanya Sarjan Boone.
“Ya, kenapa tidak. Kau dapatkan maklumat tentang perempuan simpanan dia,” balas Detektif Howard.
“Siapa saja boleh jadi  suspek. Samada isterinya, wanita Asia tu ataupun perempuan simpanannya.”
“Sebenarnya aku sudah pun mendapatkan maklumat tu,” kata Sarjan Boone sambil membuka sampul surat di tangannya dan mengeluarkan gambar-gambar gadis kulit hitam bernama Bonie.
Walaupun berkulit hitam tetapi wajah gadis itu sempurna. Bonnie seorang model dan pelakon iklan. Gambar Bonnie yang mengenakan bikini biru muda itu direnung Detektif Howard dengan mata tidak berkelip. Terlalu cantik hingga mata enggan lari dari terus menatap wajah dan bentuk tubuhnya.  Kulit yang halus, wajah yang sensasi dan sepasang mata yang besar serta hitam.
“Bagus!” Ucapnya tanpa melepaskan pandangan.
Matanya terus melekat pada gambar Bonie. Pelbagai fikiran nakal mulai tergambar dalam mindanya tetapi segera terpotong apabila terdengar Sarjan Boone bertanya,
“Bagaimana dengan partner dia, Jackson?”
 Mata Sarjan Boone beralih mengawasi wajah Detektif Howard yang masih leka membelek-belek gambar Bonie. Ada lebih kurang lima keping gambar. Semuanya menjolok mata. Detektif Howard tersengih sendiri.
“Jackson akan beri keterangan pagi ni. Aku dah pun contact dia semalam,” jawab Detektif Howard kemudian sambil menyimpan gambar-gambar Bonie di dalam sampul surat besar dan melemparkannya ke atas meja.
“Hubungi perempuan ni secepatnya. Minta dia datang jumpa aku. Kita harus menyoal siasat dia. Kenyataannya harus diambil. Kita perlu tahu ke mana dia pergi pada malam pembunuhan tu berlaku.”
Motif pembunuhan Musa Martin Abdullah masih kabur. Pembunuhnya sangat licik, hilang tanpa meninggalkan sebarang jejak. Satu-satunya bukti adalah melalui kelongsong peluru yang terbenam di dahi lelaki itu. Namun pembunuh yang cekap pasti sudah pun membuang pistol yang digunakan. Pembunuhan sering terjadi di kota ini. Banyak kes yang tidak selesai.
Isteri lelaki itu kini dalam tahanan polis untuk soal siasat. Pihak polis mengesyaki isteri Martin adalah dalangnya. Kemungkinan besar dia yang mengupah pembunuh upahan untuk membunuh suaminya sendiri kerana wang. Menurut pembantu rumah mereka, pasangan suami isteri itu mengalami krisis rumahtangga dan hampir-hampir bercerai. Dengar khabar, isterinya cemburukan perempuan simpanan Martin.
Si Bonnie  yang cantik rupawan dan seksi pula. Sedangkan wanita itu Asia itu sudah hampir mencecah usia empat puluhan. Pasti sudah tidak menarik lagi.
Tidak mustahil, isteri mangsa ingin membolot semua harta milik suaminya dan hidup sebagai seorang janda kaya yang diselubungi kemewahan. Bukan sedikit wanita yang berhati jahat dan buruk seperti itu! Malah wanita begini sudah wujud sejak dari zaman dahulu sehingga kini, fikir Detektif Howard sambil mengetuk jari-jemarinya di permukaan meja cermin.
Di satu sudut, sekotak donat sudah luak isinya. Begitu juga cawan kertas berisi kopi sudah hampir kering. Sarjan Boone sedang menghabiskan donat terakhir yang ada di dalam kotak tersebut.
Tiba-tiba pintu kamar bilik Detektif Howard diketuk. Muncul setiausahanya seorang wanita lingkungan 30an, berwajah serius. Langsung tidak cantik, kurus tinggi bak jerangkung. Di wajahnya ada tetua yang berwarna coklat kemerahan.
“Ada orang mahu jumpa tuan,” beritahunya.
“Siapa?”
“Seorang lelaki Asia. Katanya ada kaitan dengan suspek pembunuhan Musa Martin.”
“Okey, suruh saja dia masuk,” balas Detektif Howard.
“Ayuh! Pura-pura sibuk!” perintah Detektif Howard pada Sarjan Boone.
Namun Sarjan Boone hanya sibuk makan donat hingga bibirnya yang kecil dan tipis itu kelihatan sedikit comot dengan gula.
Good Morning!” seru seorang lelaki Asia yang baru muncul di hadapan pintu.
Lelaki itu segak, tinggi lampai dan berkulit cerah. Rambutnya tersisir rapi dan pakaiannya kemas.
Morning. Please come in,” jemput Detektif Howard sambil bangun.
Lelaki itu segera memperkenalkan dirinya kepada Detektif Howard dan Sarjan Boone.
“Saya Khairul Rasheed, dari Kuala Lumpur, Malaysia. Saya adik Puan Linda Martin Abdullah,” katanya sambil merenung lembut ke wajah Detektif Howard dan Sarjan Boone silih berganti.
“Ohhh! Pewaris wanita Asia tu? Kau datang dari jauh, nak beri maklumat tentang pembunuhan tu?” tanya Detektif Howard.
 Khairul Rasheed menggeleng.
“Tak, bukan itu tujuan saya datang,” terang Khairul Rasheed dengan penuh hemah.
Khairul Rasheed bergegas terbang dari Kuala Lumpur ke New York sebaik sahaja mendapat panggilan daripada Linda. Panggilan ringkas namun padat dengan cerita sensasi itu membuat Khairul Rasheed tidak menangguhkan waktu untuk membantu kakaknya yang malang.
“Biar saya berterus terang. Pihak tuan tidak boleh menahan Linda Martin sesuka hati. Dia perlu diberikan hak untuk mempertahankan diri dari dituduh secara membabi buta.  Tuduhan sebagai suspek dalam kes ini adalah mengarut sama sekali!” Walaupun kata-kata Khairul Rasheed bernada lembut tetapi cukup sinis.
“Kamu tak berhak mengganggu siasatan kami!” tegas Detektif Howard sambil berdiri. Wajahnya merah padam, menahan marah. Dia tidak sangka lelaki Asia itu begitu berani menempelak tindakannya menahan Linda Martin.
“Siapa kau? Kes ni berlaku di sini dan tak ada kaitannya dengan kau.”
 Geraham Khairul Rasheed berlaga-laga semasa sendiri. Dia cuba menahan marah dengan mengukir senyum sinis. “Saya tahu di sini Amerika. Tapi di Amerika atau pun Malaysia, kita semua dilindungi undang-undang. Linda Martin bukan suspek kes ni! Tak mungkin dia bunuh Martin. Saya mahu lihat testimoni dia. Saya datang dengan peguam,” kata Khairul Rasheed tanpa rasa takut sambil menghentak tangannya ke meja Detektif Howard.
“Wooo... Nanti dulu! Jangan terlalu cepat membuat rumusan. Kami masih belum habis menyoal dia. Tak mungkin dia akan dilepaskan selagi introgasi ke atasnya selesai. Sekurang-kurangnya untuk 36 jam,” balas Detektif Howard.
“Saya mahu jumpa dengan dia! Saya berhak untuk jumpa dia bukan? Dia juga berhak untuk mendapat seorang peguam,” kata Khairul Rasheed dengan tegas.
Dia risau memikirkan tentang diri Linda. Kejadian itu benar-benar tidak diduga. Selama ini Linda tidak pernah menceritakan sebarang krisis dalam rumahtangganya dengan Martin. Tiba-tiba sahaja Martin dibunuh dengan kejam lewat tengah malam di perpustakaan rumahnya. Kala itu Linda sedang tidur. Dan keesokan harinya Linda menemui Martin sudah pun mati. Dia juga yang menghubungi pihak berkuasa. Tetapi pihak polis kini menahan Linda sebagai suspek utama.
“Okey, kau boleh jumpa dia. Tapi membawa dia keluar dari sini, hampir-hampir mustahil, walaupun kau mampu untuk bayar berapa ribu dolar sekali pun,” tegas Detektif Howard.
We will see,” balas Khairul Rasheed.
Detektif Howard diam sahaja. Dia meneriak orang bawahannya supaya membawa  Khairul Rasheed menemui kakaknya yang ditahan dilokap polis.

“K, tolong bebaskan kakak dari sini. Seksa rasanya duduk kat dalam ni,” rintih Linda bersama esak tangis.
Sebaik sahaja dia melihat wajah lelaki itu, Linda terus meluru dan memeluknya dengan erat. Khairul Rasheed cuba menenangkan kakaknya itu dengan mengajak dia duduk. Dia memberitahu ibubapa mereka, iaitu Dato’ Salihin dan Datin Zora sedang menunggu berita darinya di Hotel Sheraton, New York. Mereka turut datang memberikan sokongan kepada Linda. Cuma Khairul Rasheed tidak membenarkan ibunya mengikut dia ke pejabat polis itu tadi.
“Kak, jangan bimbang. Saya akan berusaha untuk bebaskan kakak hari ni. Lepas tu bawa kakak balik ke Malaysia.”
“Ya, jangan bimbang apa-apa, Puan Linda,” sampuk Peguam Tan yang ada bersama mereka.
Linda melemparkan senyuman pahit. Wajahnya muram dan rambutnya kusut masai. Hilang segala keterampilannya sebagai seorang wanita yang kaya dan elegen. Semuanya terjadi kerana pembunuhan tragis yang berlaku ke atas Martin. Linda masih belum dapat melupakan kejadian ngeri yang menimpa diri Martin. Namun dia terpaksa menerima kenyataan bahawa Martin sudah tiada lagi.
Kenapa terlalu cepat dia pergi? Bisik hatinya sambil menyeka airmatanya perlahan-lahan.
Apakah yang akan berlaku padaku seterusnya? Menerima hukuman atas tuduhan yang tidak aku lakukan? Oh! Tuhan... Bantulah aku!
“Kak, saya harap kakak banyakkan bersabar. Insya Allah kakak akan keluar dari sini selewat-lewatnya petang ni. Saya dan Mr. Tan akan berusaha untuk meyakinkan pihak berkuasa. Kami juga mohon pertolongan dengan kedutaan. Insya Allah, Tuhan akan tunjukkan jalan, dipermudahkan segalanya.”
“Siapa yang sanggup bunuh Martin... ohhhh!” Linda tersedu.
“Kita semua juga tertanya-tanya. Siapakah pembunuh Martin dan apakah motifnya. Bagaimana dengan bisness partner Martin?” Tiba-tiba Khairul Rasheed teringatkan rakan kongsi Martin.
“Jackson?”
“Dia... Errr... dia tak ada. Masih di Eropah. Mungkin dia sudah tahu berita ni. Tentu staff di syarikat sudah beritahu dia. Tapi... tapi dia masih belum muncul di sini. Dia belum beri testimoni. Kakak harap testimoni Jackson akan dapat tolong kakak bebas dari sini,” beritahu Linda.
“Ya, harap Jackson boleh membantu kakak. Saya akan contact dia, kak!” jawab Khairul Rasheed.
“Kakak tenang saja, biar kami uruskan hal ni dengan sebaik-baiknya. Percayalah, semua ni akan cepat berakhir,” kata Khairul Rasheed sambil bangun.
Khairul Rasheed dan Peguam Tan terserempak dengan Jackson yang baru keluar dari bilik Detektif Howard. Dia juga baru tiba dari Eropah, setelah mendengar berita menggemparkan itu. Dia sedang bercuti tetapi bergegas pulang untuk memberikan keterangan. Maklumat dari Jackson amat berguna untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu diri Linda. Menghadapi tuduhan sebagai pembunuh, bukanlah satu perkara yang mudah dan boleh dipandang ringan.
Bagi Linda, ianya sesuatu yang amat mengerikan! Menjadi mimpi dan igauan yang menakutkan. Sejak melihat Martin terkapar dengan dahi ditembusi peluru, Linda tidak dapat melupakannya walaupun di dalam jaga ataupun di dalam tidur.
“Saya tahu Linda Martin tak bersalah,” kata Jackson sambil memegang bahu Khairul Rasheed.
“Saya telah beri testimoni kepada pihak polis. Kenyataan ini benar dan tidak perlu disangkal lagi. Saya yakin pembunuhan Martin adalah disebabkan oleh balas dendam salah seorang pekerja kami yang dipecat Martin minggu lepas. Saya yakin sekali. Pekerja itu, George namanya, memang marah dan pernah mengugut hendak membunuh Martin. Beberapa orang pekerja kami tahu mengenai ugutan itu. Dia bertengkar hebat dengan Martin sebelum meninggalkan syarikat. Pihak polis sedang mencari George sekarang. Dia dipercayai melarikan diri ke Hawaii dengan pesawat lewat malam tadi.”
“Apakah kesalahannya hingga dia dipecat?”
“Menggelapkan duit syarikat. Hampir 2 juta US dolar. Martin mengugut hendak menyerahkan dia kepada pihak berkuasa. Lelaki itu terus melarikan diri namun sempat memberi amaran. Sekiranya Martin melaporkan kejadian itu kepada polis, dia akan dibunuh. Ugutan itu akhirnya benar-benar terjadi.”
“Wow!!” Khairul Rasheed jelas terkejut.
Namun dia bersyukur. Dengan testimoni yang diberi oleh Jackson pasti Linda akan dibebaskan secepatnya. Linda akan segera dibawa pulang ke tanah air. Dia berharap pengalaman buruk itu tidak akan mematahkan semangat Linda untuk meneruskan hidup.
“Terima kasih,” ucap Khairul Rasheed sambil bersalaman dengan Jackson.
I am happy to help Linda. She was a wonderful woman, beautiful, wise,” katanya sambil tersenyum mesra.
“Ya, dia memang seorang wanita yang layak untuk dipuji. Bukan dikeji dan diberi penghinaan begini,” kata Khairul Rasheed membendung rasa sedih.












Bab 3
SEORANG wanita muda, dalam lingkungan usia dua puluh enam tahun, baru sahaja keluar dari balai berlepas. Pesawat yang dinaiki dari benua Amerika baru sahaja mendarat.
Dia berjalan perlahan menarik beg pakaian beroda, sambil sepasang mata yang terselindung dari sebalik kaca mata hitam memerhati jinak suasana sekeliling. Pusuan orang ramai yang baru keluar dari pesawat menuju ke pelbagai arah. Terdengar suara-suara yang tidak asing di telinganya. Dia rindu untuk mendengar dan melihat sesuatu yang dia ketahui, kenal dengan pasti. Dia mahu mengingati segalanya, walaupun terlalu pahit.
Langkah terus diatur. Kakinya yang panjang kelihatan sungguh cantik, mengenakan but berwarna hitam yang berkilau. Sementara baju kemeja sendat warna merah membalut tubuh, dipadankan dengan seluar jean ketat. Bahagian dadanya sedikit terdedah, memperlihatkan alur buah dada yang seksi. Dia tidak peduli apabila ada mata nakal yang mencuri pandang.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur adalah yang antara lapangan terbang yang tercanggih. Penumpang dibawa meninggalkan balai ketibaan dengan menaiki tren menuju ke terminal. Dia tidak terkecuali  menyelitkan diri di celah-celah penumpang lain. Sebaik tiba di terminal, matanya merenung jauh ke arah pintu yang menghala ke luar. Di situ terdapat deretan kereta sewa yang menanti pelanggan.
Aku akan mulai membina kehidupan di sini, bisik hatinya. Aku tahu, di sini aku akan lebih bahagia. Aku mahu berubah. Aku bukan lagi Carra Carson Maxwell. Tetapi aku adalah Kharlissa Yusuf, seorang wanita biasa. Seorang wanita yang ingin belajar perkara  baru. Perkara baru pastinya indah dan menarik. Mulai detik ini, aku akan berubah secara total, bisiknya sambil memandang ke arah beg pakaiannya yang besar dan berat. Dia terus menarik  beg pakaian menghala ke  arah teksi yang menunggu penumpang. Sebaik sahaja masuk ke dalam perut teksi dia terus meminta dibawa ke Pusat Bandar Kuala Lumpur.
 Malam ini dia akan menginap sahaja di hotel. Tidak sempat untuknya mencari rumah. Pasti dia memerlukan masa bagi mencari lokasi dan tempat yang sesuai untuk menginap. Kharlissa berdiri di tepi  balkoni hotel, sambil memegang gelas minuman. Lantaran dia ingin benar-benar berubah, dia meminggirkan minuman keras. Jus oren menjadi pilihannya bagi menghilangkan dahaga.
Aku seorang wanita biasa. Seorang gadis yang baik, dia mengingatkan dirinya sendiri. Dia tersenyum sendiri, sambil mata ditebar jauh. Dari balkoni hotel tingkat lima belas itu dia dapat melihat pemandangan kota raya Kuala Lumpur. Angin malam begitu ramah memesrai wajahnya yang kosong tanpa solekan.
Pelbagai rancangan masa depan sedang mengisi minda. Dia cuba menterjemahkannya satu persatu. Mulai esok dia harus mencari rumah untuk didiami. Rumah yang selesa. Mungkin sebuah kondo mewah  yang akan dihuni bersama beberapa orang rakan baru. Pun dia merasa lebih selesa jika bersendirian.
Dia kembali ke dalam bilik, membiarkan pintu yang menghala ke balkoni ternganga luas. Dia duduk di kerusi dan mencapai diari. Diari yang masih kosong. Dia akan mencorakkan diari kosong itu dengan cerita-cerita baru. Tiada kisah lama. Tiada kenangan. Semuanya baru.
Dia mulai menulis;
Pertama: Sebuah kondo harus didiami seorang diri.
Kedua: Sebuah kereta sederhana mewah
Ketiga: Sebuah komputer riba
Keempat: Seorang lelaki...
Dia terhenti menulis. Apakah rancangan seterusnya? Seorang lelaki untuk apa? Dia tidak tahu. Dia buntu. Dia tidak punya rancangan yang lebih daripada itu. Agh! Apa yang harus dia buat? Sebuah rengusan perlahan dilepaskan.

 “BARU pindah?” Seorang lelaki menegurnya dalam Bahasa Melayu semasa dia berada di hadapan pintu yang terbuka. Kharlissa baru membeli kondo itu dengan harga RM 600,000.00. Dia membayarnya secara tunai. Wang simpanan dalam bentuk US Dolar apabila ditukar ke Ringgit Malaysia, benar-benar menjadikan dia seorang jutawan. Selama bertahun-tahun dia menyimpan wang itu untuk masa depan. Inilah masa depan yang sering difikirkannya.
Memiliki sebuah rumah yang selesa. Kondo itu mempunyai tiga bilik tidur. Ruang tamu yang luas, mengadap ke taman yang menghijau. Memang amat bertepatan dengan nama kondo itu. Setapak Garden.
Kharlissa sibuk mengeluarkan beberapa buah kotak yang sudah dilipat. Kotak-kotak itu mahu dibuang segera. Dia tidak suka suasana yang sesak dan berselerak.
Kharlissa tidak segera menjawab. Entah mengapa lidahnya kelu. Sudah lama tidak bertutur dalam Bahasa Melayu. Namun dia masih faham dan ingat. Dia mengambil keputusan untuk berdiam diri sahaja, sambil mata bundar miliknya memandang wajah lelaki itu.
Lelaki itu masih muda, berusia penghujung dua puluhan. Tinggi dan berkulit cerah. Rambutnya agak panjang, mencecah bahu dibiarkan bebas. Dagu dan bahagian atas bibirnya kelihatan bersih baru lepas bercukur. Malah bau colognenya masih sempat dibawa angin ke deria rasa Kharlissa. Bau yang sangat asing namun menyenangkan.
Need help with those boxes?” tanya lelaki itu apabila melihat dia hanya membisu.
Care to help?” soalnya semula sengaja untuk bermain tarik tali.
Sempat dadanya berdebar kala lelaki itu datang mendekat. Jarak pintu rumah mereka lebih kurang dua puluh meter sahaja. Lelaki itu adalah satu-satunya jiran terdekat.
Yeah, why not,” balas lelaki itu.
Hmmmm, layan sajalah lelaki ni, fikirnya sambil menggertapkan bibir. Bukankah aku mahu berubah?  Terlalu ingin menjadi orang lain. Menjadi seorang gadis bernama Kharlissa yang baik, ramah dan ingin berkawan dengan sesiapa sahaja, terutama sekali seorang lelaki handsome. Tapi apakah dia masih bujang? Ataupun sudah berkeluarga? Nanti tak pasal-pasal isterinya cemburu, kena kejar dengan penyapu.
“Saya sentiasa ada masa untuk gadis cantik macam awak,” kata lelaki itu dalam bahasa Melayu sambil menghadiahkan senyuman. Matanya nampak bercahaya. Kharlissa dapat menangkap wajahnya yang  kelihatan ceria.
“O, kalau tak cantik awak tak mahu tolong ke?” tanya Kharlissa sinis.
Menyampah juga dia mendengar ungkapannya tadi.
Lelaki itu  mengerut kening. Ehhh, boleh pulak cakap Melayu rupanya perempuan ni, bisik hatinya.
Dia tertawa lembut.
“Saya puji awak sebenarnya tadi. Awak marah ke?” Lelaki itu masih ingin bermain dengan kata-kata yang membuat Kharlissa terdiam sejenak.
Dia hilang tingkah. Terasa susah pula berhadapan dengan lelaki yang baru dikenali. Nak pulak lelaki itu sangat kacak... bisik hati Kharlissa. Debaran tiba-tiba menerjah dinding dadanya.
Pantas lelaki itu membongkok mengambil kotak-kotak yang baru dilonggokkan dan mengangkatnya dengan ke dua-dua belah tangan. Tangannya nampak sasa dan tegap.
“Taklah. Saya tak marah. Cuma... saya tak biasa dipuji,” terus terang Kharlissa cuba membuka secebis dari rahsia kehidupannya.
Dia tidak pernah dipuji. Tidak biasa menerima pujian. Semua itu buat dia rasa amat janggal. Siapa yang pernah memuji seorang pembunuh upahan? Dia sentiasa dikeji dan dicaci. Dia pembawa bencana dan kemusnahan. Dia seorang wanita kejam dan jahat. Dia... Hati Kharlissa rasa pedih secara tiba-tiba.
Tidak! Aku mahu melupakan Carra. Carra sudah hilang jejak walaupun dia belum mati. Aku adalah Kharlissa.
“Saya ikhlas. Walaupun di KL ni ramai perempuan cantik, tapi awak memang lain. Kecantikan asli,” lelaki itu mengenyitkan matanya.
Kharlissa meraba-raba pipinya sendiri. Ya, dia tidak bersolek langsung sejak tiga hari lepas. Dia membiarkan wajahnya tanpa dilindungi topeng solekan lagi.
“Okey... Terima kasih. Tapi awak jangan menyesal sebab tawarkan pertolongan. Ada banyak lagi sampah dalam rumah saya.”
“Tak apa. Saya takkan paksa awak belanja makan malam ni!”
Kharlissa tidak menjawab. Dia memandang sahaja lelaki itu membantu memunggah kotak-kotak yang banyak itu ke tingkat bawah. Kemudian dia turut turun, menghantar kotak-kotak dan sampah di dalam beg plastik hitam ke tempat pembuangan sampah di belakang kondominium.
“Terima kasih,” ucap Kharlissa sambil berjalan menghala ke pintu lif.
No problem. By the way, what is your name? Yalah saya perlu tahu nama awak, takkan saya nak panggil ‘oi’ saja kan?” kata lelaki itu.
“Nama saya err... Kharlissa.”
“Kharlissa. Sedap nama awak,” balasnya sambil tersenyum mengusik.
Kharlissa tertawa kecil.
“Panggil saja Liss,” katanya masih mengulum senyum.
Lelaki itu menghulur tangannya.
“Kay,” katanya sambil tersenyum mesra.
Kharlissa menyambut tangan lelaki itu yang kelihatan panjang dan berkuku putih bersih. Telapak tangannya lembut menandakan dia bukan melakukan kerja-kerja yang kasar, jauh sekali buruh. Kharlissa cuba menduga pekerjaan lelaki itu. Mungkin seorang arkitek atau engineer, fikirnya.
“Kay? Nama yang sangat ringkas,” komen Kharlissa.
“Sebenarnya nama saya Khairul Rasheed Dato’ Salihin.”
Wow, anak orang elit dan bertitle. Yalah! Kalau bukan anak orang kaya, masakan mampu duduk di kondo ni, bisik hati Kharlissa.
Mereka sudah pun berada di dalam lif dan Khairul Rasheed menekan punat nombor enam. Kala itu mereka berdiri begitu dekat. Sekali lagi Kharlissa terhidu bau cologne lelaki itu. Begitu menyenangkan. Apakah minyak wangi yang dia pakai? Soalnya ingin tahu.
Sungguh mendebarkan kala berdiri begitu dekat hampir-hampir bersentuhan bahu, fikir Kharlissa lagi. Aku rasa dia lelaki yang punya sentuhan magis, membuat hatiku tiba-tiba jadi suka padanya... Gila kau Kharlissa! Marah hatinya pula. Suka pada lelaki ni? Bukankah kau tak pernah sukakan sesiapa? Apalagi lelaki. Satu-satunya lelaki yang baik hanya Maxy.
Aduh... Kharlissa merengus perlahan. Matanya dengan gesit, menjeling Khairul Rasheed dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Dia berpakaian ringkas seluar bermuda dan t.shirt putih, berkolar biru. Walaupun rambutnya agak panjang, namun bersisir rapi.
Satu rasa aneh menyelinap lagi ke dalam hatinya. Dia tidak mengerti mengapa dadanya pula rasa berdebar, berdua sahaja dengan lelaki itu dikepung ruang lif yang kecil. Dia pura-pura memandang ke arah butang lif yang berkelip-kelip setiap kali tiba di tingkat yang dilewati. Beberapa saat lagi mereka akan tiba di tingkat enam. Pintu lif akan terbuka luas dan mereka akan keluar. Entah mengapa Kharlissa rasa berat hati...
“Nama awak Kharlissa saja ke? Tak ada nama bapa?”
“Kenapa?” Kharlissa memulangkan pertanyaan.
“Yalah selalunya pada perkenalan pertama orang akan menyebut namanya dan nama keluarga,” jawab Khairul Rasheed, memusing badan dan muka, merenung ke wajah Kharlissa yang sedang terdongak.
“Mungkin ‘orang’ tu silap. Tak semestinya, kita perlu bercerita tentang keluarga pada perkenalan pertama,” jawab Kharlissa dengan nada tegas.
“OK, Up to you. Kalau tak keberatan, sebelum ni awak tinggal kat mana?” lanjut lelaki itu benar-benar berminat ingin tahu tentang wanita cantik yang menjadi jirannya yang baru. Bola  matanya tidak lepas memandang mata Kharlissa yang bersinar lembut. Bibirnya comel, kemerahan dan basah.
“Singapura,” jawab Kharlissa ringkas, cuba untuk berbohong.
 Sebaik pintu lif terbuka dia terus bergerak menuju ke pintu rumahnya. Lelaki itu membontoti Kharlissa dengan pantas. Dia masih ingin meneruskan perbualan.
“Kerja apa, kalau boleh saya tahu?”
Kharlissa menjelingnya tajam, tidak suka mendengar pertanyaan itu. Kau ni polis ke? Semua hal orang nak tahu! Gerutunya di dalam hati sedikit geram.
Lantaran dia ingin menjadi Kharlissa dan bukan lagi Carra, dia terpaksa meladeni pertanyaan Khairul Rasheed dengan sebaik mungkin.
“Cubalah awak teka. Kalau awak berjaya teka dengan betul, mungkin dapat sikit ganjaran,” katanya sambil tersenyum nakal.
Senyuman yang tidak dibuat-buat. Sampai bila-bila pun kau takkan tahu pekerjaanku yang dulu! Kalau kau tahu, mungkin kau kecut perut? Bisik hati Kharlissa dan dia tersengih lebar.
“Wow, ada ganjaran. Saya suka. Hmmm, biar saya cuba. Saya rasa awak ni kalau bukan model, mesti seorang pelakon, sebab awak sesuai jadi model dan pelakon. Full pakej. Cantik, tinggi lampai, seksi.”
Kali ini Kharlissa tertawa tanpa rasa terpaksa hingga airmatanya mengalir tanpa sedar.
“Model? Mengarut betul!”
“Pelakon?”
 “Tak... tak... saya tak ada bakat langsung,” jawab Kharlissa.
“Model bukan, pelakon pun bukan. Penyanyi juga tak mungkin,” kata Khairul Rasheed sambil berfikir-fikir dalam. Entah mengapa enggan melepaskan ‘ganjaran’ kecil yang dijanjikan Kharlissa. Dia mesti meneka kerjaya wanita di hadapannya itu dengan tepat.
“Hmmm, bisness woman?” dia berkata dengan kening terangkat.
Kharlissa menggeleng-geleng bersama senyuman menghiasi bibir.
“Mengaku kalah?” cabar Kharlissa.
“Saya akan kehilangan ganjaran?” dia bertanya sedikit kesal.
“Awak begitu mengharap pada ganjaran yang tak seberapa tu?” Kharlissa pula menduga.
“Haa... saya tahu, awak seorang pembunuh upahan!”  Khairul Rasheed berkata tanpa berfikir, kemudian menggelengkan kepalanya pula.
Wajah Kharlissa merah padam mendengar kata-kata Khairul Rasheed. Dia melindungi dengan tawa. Tawa yang hambar. Tekaan yang sangat tepat, bisik hati Kharlissa. Apakah lelaki ni dapat membaca fikiran orang? Atau pun dia punya naluri yang sangat kuat. Bahaya! Sungguh-sungguh bahaya berkawan dengan lelaki begini.
“Awak memang pandai mengarut!” balas Kharlissa cepat, membuka pintu dan menyelinap masuk.
“Hei! Hei! Nanti dulu! Macamana dengan ganjaran tu?”
Sorry, tekaan awak jauh tersasar. Jadi, tak ada ganjaran. Bye!” Kharlissa terus menutup pintu rumahnya serapat yang mungkin.
Dadanya berdebar-debar. Dia memegang kedua-dua pipinya sambil bersandar pada pintu. Dia masih terkejut semasa lelaki itu menyebut pekerjaannya dengan tepat tadi. Siapakah dia? Siapa lelaki itu sebenarnya? Apakah jejaknya sedang dicari dan dia sedang diintai bahaya?
Oh My God! Kharlissa mengeluh sendiri. Dia menarik nafas dalam-dalam. Tenang, bisik hatinya. Selama ini kau tak pernah tertangkap. Malah tidak pernah sekali pun disyaki. Jadi, lelaki itu hanya bergurau. Dia tak tahu apa-apa!
Kharlissa bergerak ke dapur, tekaknya tiba-tiba terasa begitu haus sekali.
Khairul Rasheed masih berdiri di hadapan pintu yang bertutup rapat. Dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Hatinya belum puas. Wanita muda itu gemar berahsia. Namun dia tidak ingin memaksa jiran barunya itu bercerita sesuatu yang peribadi. Mungkin kesempatan masih banyak untuk mereka berkenalan lebih rapat. Dia benar-benar sukakan wajah Kharlissa. Begitu ayu dan cantik... wajah itu bagaikan salinan wajah aktress Korea.
Khairul Rasheed bagaikan terpukau. Hatinya benar-benar terpaut.

 Bab 4

 KHARLISSA menghumban tubuh ke atas katil. Malam kian larut, namun matanya enggan terlelap. Sejak jam sembilan malam dia menonton sebuah filem yang sangat membosankan dari saluran televisyen tempatan.  Jam dua belas filem itu tamat tanpa meninggalkan sebarang kesan di hati Kharlissa.
Kini dia berbaring tanpa selimut walaupun cuaca malam itu terasa dingin. Guruh terdengar sayup diikuti dengan kilat menyambar cermin tingkap tepi katil. Tidak lama kemudian hujan mulai turun,  tempias menampar tingkap kaca yang bertutup rapat.
Kian lama hujan kian lebat. Hati dicengkam sepi yang teramat sangat. Dia perlukan seorang teman bagi membunuh kesepian ini. Tetapi siapakah yang sudi menemani? Hati kecilnya dibungai rasa takut. Kenapa rasa sepi itu harus datang menyapa diri? Dulu perasaan sepi dan takut itu tidak pernah ada dalam kamus hidupnya.
Semasa dia memasuki rumah agam Musa Martin dahulu dia terlalu berani. Perlahan-lahan mindanya mulai mengembara, mengingat kisah tragis malam kematian Martin.
Lelaki itu berada di meja study, di perpustakaan rumah agamnya. Dia duduk menghadapi laptop sambil menaip sesuatu. Kharlissa masuk perlahan-lahan melalui pintu, setelah dia mematikan sistem penggera. Dia amat pakar dalam soal itu.
Kharlissa berjalan perlahan mendekati meja. Lelaki itu terlalu asyik dengan laptopnya. Tidak sedar, ruang bilik itu sudah dicerobohi. Kharlissa berjalan dengan senyap seperti kucing yang bijak mengendap mangsa, walaupun mangsa itu lebih besar dan kuat daripadanya. Kucing itu tidak akan mengalah!
“Siapa kau?” Ada getar rasa takut dalam suara Martin.
Kharlissa tidak menjawab. Hanya tangannya sahaja yang pantas mengeluarkan senjata yang tersisip dipinggang.
Mata Martin memandang tajam ke arah batang tubuh Kharlissa yang berdiri gagah di hadapannya. Wajah yang merah bagaikan udang dibakar, serta merta jadi pucat apabila terlihat sepucuk pistol di tangan Kharlissa.
Telinganya menangkap bunyi ‘klik’ yang datang dari pistol Kharlissa. Hujung pistol itu sudah dipasang alat penyenyap. Bila tembakan dilepaskan dalam jarak yang kurang daripada dua meter, bunyi dentuman peluru itu tidak akan kedengaran. Tidak akan membangunkan seisi rumah.
Dalam masa tak sampai sesaat terdengar bunyi berdesus perlahan. Kemudian semuanya senyap kembali. Dahi Martin sudah ditembusi peluru, tidak sempat mengelak langsung. Matanya separuh terbuka. Dan sebutir lagi menembusi dada Martin. Dia terus lemah terkulai bagai bunga yang layu dalam jambangan.
Darah berselerakan di kerusi dan karpet. Kharlissa mengeluarkan secebis sketsa. Gambar bunga dandelion diselitkan dicelah-celah buku di atas meja Martin. Asap pistolnya masih berkepulan kala Kharlissa mencari jalan keluar. Jua dalam keadaan senyap. Saat yang mendebarkan itu berlalu, sepantas kilat.
Tiba-tiba Kharlissa bingkas,  duduk di tepi tebing katil. Segalanya seperti mimpi bagi Kharlissa. Bagaikan tidak percaya dia adalah pembunuh Martin. Ianya bagaikan mimpi yang berulang kembali. Tetapi dia teringat lagi pada duit upah di dalam bank. Dia kembali yakin bahawa itu semua bukan satu mimpi.
Entah mengapa penyesalan menyelinap perlahan-lahan ke sudut hati yang paling dalam.

BERTUTUP RAPAT! Bisik hati Khairul Rasheed semasa matanya memandang ke arah rumah Kharlissa. Sudah seminggu dia tidak melihat wajah wanita muda yang jelita itu. Selepas pertemuan pertama dahulu, dia sentiasa mengintai peluang untuk bertemu tetapi wanita muda itu terlalu misteri. Sukar untuk didekati.
Khairul Rasheed menguap beberapa kali. Matanya terasa berat. Dia kepenatan setelah dihambat tugas yang panjang. Pulang lewat malam sudah jadi kebiasaan. Namun esok dan lusa, dia cuti sementara menunggu tugasan lain. Dia akan berada di rumah. Biarpun keletihan, satu keinginan lain muncul dari dalam relung otaknya sebaik sahaja masuk ke dalam rumah. Dia terus bergerak ke meja tulis di sudut ruang tamu rumahnya  lalu terus duduk. Komputer riba yang terletak di situ segera dihidupkan.
Sebaik sahaja laptop itu dihidupkan, tertera perkataan besar ‘HAK MILIK KERAJAAN MALAYSIA’. Kata-kata itu bagaikan satu amaran bahawa dia tidak berhak menggunakan laptop itu untuk tujuan peribadi. Namun hatinya begitu kuat mendesak. Jari-jemarinya pantas menari-nari di atas keyboard. Dia memasuki laman sesawang Pendaftaran Negara. Dia boleh memasuki mana-mana laman sesawang kerana memiliki kata laluannya.
Nama Kharlissa Yusuf ditaip melalui kotak carian. Dia menanti beberapa saat. Tiada rekod tentang Kharlissa Yusuf dari Pendaftaran Negara. Dahinya berkerut. Dia meneruskan usaha, pencarian demi pencarian tanpa henti. Dia mencuba pula mencari dalam laman sosial facebook. Tiada nama Kharlissa Yusuf.

KEESOKAN hari sekitar jam sepuluh pagi, Khairul Rasheed melihat Kharlissa keluar dari rumah. Sejak pukul lapan tadi, dia mengintai di tingkap dan berharap wanita muda itu akan keluar. Dia sudah pun bersiap-siap awal. Tiada tuntutan tugas menunggu sepanjang dua hari ini. Jadi dia ingin menggunakan kesempatan itu untuk mendekati Kharlissa. Entah mengapa dia merasa terlalu ingin dekat dan mengenali wanita muda yang menawan itu.
“Nak pergi kerja?” Tegur Khairul Rasheed semasa mereka sama-sama berdiri di hadapan lif.
Kharlissa menggeleng.
Shopping.” Jawab Kharlissa tanpa memandang Khairul Rasheed di sebelahnya.
Mereka sama-sama melompat ke dalam gawang lif yang terbuka. Mereka berdiri bersebelahan. Dan Kharlissa amat senang pada bau wangian Khairul Rasheed. Bauan yang semakin sebati dengannya.
“Belum dapat kerja?” Khairul Rasheed terus bertanya.
Kharlissa menggeleng.
“Di KL banyak peluang kerja. Tapi saya rasa di Singapura tu kehidupannya lebih liar, mencabar. Terkadang menakutkan bagi seorang wanita.”
“Agh! Tak payah nak ingatkan saya. Saya dah cukup dewasa. Tak ada apa yang menakutkan saya jika saya terus berada di atas landasan yang betul,” jawab Kharlissa.
Khairul Rasheed tertawa pendek. Terasa jawapan Kharlissa agak sinis.
“Oh ya? Awak seorang wanita yang berani.”
Kau tak tahu sebenarnya, keberanianku yang dahulu begitu menebal kian terhakis. Entah mengapa aku jadi takut pada hari-hari esok yang bakal mendatang. Kata orang, kalau kita masih berada di hari semalam, bagaimana mahu melangkah ke hari esok? Tolong ajari aku bagaimana melupakan hari semalam yang pahit, tanpa sedar Kharlissa merenung sahaja wajah Khairul Rasheed sambil berkhayal.
“Hei! Hei!” Khairul Rasheed menggoyangkan tangannya di hadapan wajah Kharlissa.
“Kenapa awak renung saya?”
Sorry,” mohon Kharlissa dengan cepat.
“Bila hidup bersendirian, kita harus berani hadapi apa saja kan?”  kata Kharlissa.
“Maksudnya awak tak ada keluarga? Tak ada sesiapa?”
Kharlissa terperangkap dengan kata-katanya sendiri.
“Ya,” jawabnya lemah.
Sebenarnya aku masih ada ibu di sini. Tetapi aku tak tahu samada dia masih hidup ataupun tidak. Bagaimanakah keadaan dia sekarang? Aku tak tahu! Bisik hati Kharlissa. Wajahnya muram, tidak keruan.
“Maaf, saya tak tahu awak sebatang kara. Apa kata mulai hari ni kita jadi kawan baik?” pinta Khairul Rasheed.
Why not,” balas Kharlissa.
Lif sudah pun tiba di tingkat bawah. Mereka sama-sama bergerak keluar.
 “Jom saya belanja makan pagi. Tentu awak belum sarapan,” pelawa Khairul Rasheed.
 “Tapi, bukankah awak harus pergi kerja? Setiap pagi awak bangun awal untuk pergi kerja dan balik lewat malam kan?”
Khairul Rasheed sedikit kagum. Jadi, Kharlissa tahu dia selalu pergi kerja di awal pagi dan pulang lewat.
 “Saya cuti dua hari,” jawab Khairul Rasheed ringkas.
Kharlissa diam. Namun otaknya ligat memikirkan jenis pekerjaan lelaki di sisinya itu. Bekerja penuh dalam seminggu kemudian cuti dua hari pada hari Isnin dan Selasa? Bukankah pelik? Bermakna dia bukanlah pekerja di pejabat kerajaan ataupun swasta. Mungkin kerja kilang? Agh! Tak mungkin.
“Macamana dengan pelawaan saya tadi? Atau awak dah minum di rumah?”
Kharlissa menggeleng.
“Buat masa sekarang di rumah saya belum ada cerek,” jawabnya sambil melepaskan ketawa geli hati. Dia benar-benar lupa membeli cerek ataupun flash elektrik.
“Awak ada kereta sendiri?” Tanya Khairul Rasheed apabila mereka berada di ruang parkir di hadapan kondominium.
Kharlissa menggeleng. Otak Kharlissa ligat memikirkan duitnya di dalam Swiss Bank. Ada lebih kurang 5 juta Euro. Dan di dalam bag tangannya sekarang ada lebih kurang 10 ribu Euro. Dia perlu pergi ke pengurup wang untuk menukar matawang Malaysia. Apabila ditukar kelak akan cukup untuk membeli sebuah kereta baru keluaran tempatan.
“Naik kereta saya saja. Lepas sarapan saya akan hantar awak ke mana saja yang awak mahu.”
Kharlissa memandang  tajam wajah Khairul Rasheed. Dia diam, masih tiada jawapan. Khairul Rasheed berpaling padanya dan berkata; “Percaya pada saya. Saya bukannya nak bawa awak lari. Lagipun rumah kita saling berhadapan. Ingat! Kita berjiran. Saya orangnya sangat baik!” Khairul Rasheed memuji diri sendiri.
Kharlissa tertawa kecil.
“Saya tak kata pun awak orang jahat,” balas Kharlissa.
Aku tahu caranya bagaimana menangani orang jahat. Aku bukan kosong dada dengan ilmu mempertahankan diri. Masalah aku, tidak pandai berkawan dengan orang yang baik macam kau, Khairul Rasheed! Sambungnya di dalam hati.
“Tapi cara awak pandang saya macam saya ni orang jahat yang tak boleh dipercayai. Yang jelas saya bukan perompak,” kata Khairul Rasheed sambil mengangkat tangannya yang bersih.
Kharlissa tertawa kecil. Seorang penjahat takkan mengaku dirinya orang jahat.
 Sebenarnya Kharlissa tidak biasa berkawan dengan lelaki. Sebelum ini dia tidak pernah takut pada sesiapa. Namun bersama jiran barunya ini ada sedikit rasa sangsi bertapak di hati. Pun dia tidak dapat menjauhkan diri dari lelaki ini. Entah mengapa dadanya bergementaran kala mereka berbalas pandang. Sejak berkenalan pada minggu lepas fikirannya agak terganggu apabila mengenangkan jejaka di hadapannya itu.
Tidak lama kemudian kereta Toyota Camry Khairul Rasheed membelah laju dalam hiruk pikuk kenderaan menghala ke Jalan Pahang. Kharlissa di sisinya bersandar damai. Khairul Rasheed membawa Kharlissa ke Restoran Haslam yang terletak di belakang Hospital Tawakal.
“Cubalah laksa penang di sini memang sedap,” kata Khairul Rasheed semasa mereka sudah pun duduk saling berhadapan di dalam restoran itu.
Restoran Haslam sentiasa penuh dengan pelanggan. Namun Khairul Rasheed duduk tanpa rasa terganggu. Kharlissa rasa tidak selesa. Suasana di situ menggamit memori silam. Dia memerhati ke arah meja tidak jauh darinya. Sebuah keluarga bahagia sedang menikmati makanan sambil berbual mesra.
Pelayan datang mengambil pesanan. Kharlissa membiarkan Khairul Rasheed memilih makanan untuknya. Dia ingin merasakan keenakan laksa penang seperti yang dikatakan oleh  Khairul Rasheed. Selepas menikmati sarapan, Khairul Rasheed menghantar Kharlissa untuk membeli belah. Kharlissa menyangka mereka akan berpisah di hadapan Berjaya Times Square. Namun Khairul Rasheed enggan membiarkan dia bersendirian.
Ada sesuatu bakal terjalin antara aku dan dia, bisik hati Kharlissa. Dia yakin dan percaya pada kata hatinya yang tidak pernah berbohong.
Aku yakin pada naluriku ini. Aku sukakan dia! Bisik hatinya, sambil matanya memandang Khairul Rasheed yang setia berjalan di sisinya.
Tapi apakah dia memiliki perasaan yang sama?
Tiba-tiba telefon bimbit Khairul Rasheed berbunyi. Pantas dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar. Kharlissa mendengar Khairul Rasheed bercakap dengan seseorang. Nadanya kedengaran tergesa-gesa; “Oh, aku cuti hari ni. Kenapa?”
“Tolong jangan kacau aku dengan  urusan kerja,” suaranya kedengaran sedikit tegas.
No... no. Tak boleh. Aku tengah busy ni. Sorry,” katanya sambil terus menutup panggilan itu.
“Awak nak shopping apa hari ni?” dia berpaling pada  Kharlissa.
“Sebenarnya saya nak beli laptop,” beritahu Kharlissa.
“Kalau macam tu, saya temankan awak pergi ke Plaza Low Yat. Dekat je dari sini. Jom.” Spontan Khairul Rasheed menarik tangan Kharlissa.
Aneh Kharlissa membiarkan sahaja tangannya diheret. Dia tidak mengerti mengapa apabila mereka saling bersentuhan dadanya terus berdebar dengan kencang.

TAMAN SETIA, GOMBAK.
TERLALU banyak kesilapan dalam hidupku... keluhnya seorang diri sambil merenung kolam ikan emas yang beriak perlahan. Ikan-ikan emas di dalam kolam kecil itu berenang bebas. Namun hatinya tetap rasa gundah gulana biarpun angin bertiup perlahan  membelai wajah.
Sejak pulang ke Malaysia, tiada keceriaan di wajahnya lagi. Semua itu sudah sirna. Dia masih terkenangkan peristiwa tragis yang berlaku dua minggu yang lalu. Walaupun dia terselamat daripada tuduhan membunuh suaminya sendiri, namun dia merasakan tiada kegembiraan lagi yang bakal menyapa. Hidupnya tidak mungkin dapat diperbetulkan semula lalu kebahagiaan itu dapat dia kecapi kembali.
Dia melepaskan keluhan. Rambutnya yang jatuh di pipi dikuak perlahan. Matanya memandang jauh ke langit membiru. Pagi ini langit cerah dan matahari baru muncul.
“Linda! Jom kita sarapan,” laung wanita berusia awal enam puluhan dari arah pintu sisi rumah banglo dua tingkat itu.
Linda bangun tanpa suara. Dia mendekati wanita yang dipanggilnya mami  yang duduk di salah sebuah kerusi di bawah pergola. Pembantu rumah sedang menghidang minuman. Di atas meja terdapat roti, mentega dan jem. Sarapan tipikal orang-orang yang kota. Kalau di kampung pasti lain keadaannya. Sebelum turun ke sawah ladang, pasti akan dijamah nasi goreng, pulut dengan ikan kering ataupun lempeng kelapa.
Linda jadi teringat pada kampung halamannya... Sudah demikian lama dia lupa pada asal usulnya. Dan dia berpura-pura bahagia menjadi orang kota besar. Sudah hampir sepuluh tahun berada di luar negara.
“Apa yang dimenungkan sejak pagi-pagi tadi, Lin?” tanya Datin Zora sambil tersenyum memandang wajah wanita yang dianggapnya bagaikan anak sendiri.
Linda berusia empat puluh empat tahun, masih cantik. Namun kebelakangan ini dia jarang bersolek. Selepas dia kehilangan suami dengan cara yang paling mengejutkan. Mati dibunuh. Dia seperti hilang semangat  untuk meneruskan hidup.
“Entahlah mami...”
“Lupakanlah cerita pahit tu, Lin. Kau perlu teruskan hidup kau. Kau masih muda.”
Linda melepaskan keluhan. “Tiba-tiba pagi ni saya teringatkan anak saya, mami.”
“Anak?” Datin Zora mengerutkan keningnya.
Dia benar-benar kehairanan dan terkejut. Selama ini tidak pernah Linda menyebut soal anak. Memang dia tahu Linda pernah menikah sebanyak dua kali. Perkahwinan pertamanya menemui kegagalan. Suami wanita itu pulang ke tanahairnya, tetapi tidak pernah kembali ke pangkuan Linda. Dia melayan rasa kecewa dan pernah cuba membunuh diri tetapi diselamatkan oleh Dato’ Salihin. Sejak itu mereka mengganggap wanita itu sebagai anak.
Kebetulan pula mereka hanya ada seorang anak lelaki. Beza usia antara anak lelaki tunggal Dato’ Salihin dan Datin Zora dengan Linda memang jauh jaraknya, tetapi hubungan antara mereka cukup mesra. Semasa pertama kali Linda datang ke rumah itu, anak lelakinya berusia dua belas tahun.
Linda sering kali mengikut Datin Zora ke luar negara. Akhirnya dia bertemu jodoh dengan Martin, salah seorang rakan perniagaan Dato’ Salihin.
“Saya pernah ada anak,” beritahu Linda dengan suara yang tersekat-sekat.
“Tapi kau tak pernah sebut pasal dia sebelum ni. Perempuan atau lelaki anak kau tu?” kata Datin Zora.
“Perempuan. Masa saya tinggalkan dia umurnya 10 tahun lebih kurang,” beritahu Linda.
“Mungkin ni satu sumpahan pada saya, mami. Sebab saya tinggalkan dia macam tu je. Sumpahan tu sentiasa mengikut saya ke mana saja sehingga saya takkan hidup aman dan bahagia, buat selama-lamanya.”
“Jangan cakap gitu, Lin. Mana ada sumpahan. Kita takkan mati kerana sumpahan tu. Dan bukan sumpahan itu yang mengawal ataupun menentukan hidup kita. Segalanya sudah ditentukan Allah.”
Linda menarik nafas perlahan-lahan.
“Mami, saya nak keluar sekejap,” katanya meminta izin dengan lembut sambil bangun.
“Kau nak ke mana?” tanya Datin Zora kerisauan. Kelihatan kerut yang jelas di dahinya.
“Mami! Jangan risau... Saya takkan bunuh diri lagi macam dulu!” kata Linda separuh gurau dan separuh serius.
Datin Zora jadi bertambah risau.
“Jangan bergurau soal hidup dan mati, Lin!”
“Beri saya kunci kereta mami,” pinta Linda bersungguh-sungguh.
“Ok, tapi pandu elok-elok ya! Kau dah lama tak memandu sendiri di KL ni. Tak pun minta driver yang hantar,” kata Datin Zora tidak dapat menghapus rasa bimbang.
“Tak payahlah. Saya yakin masih boleh memandu sendiri,” balasnya sambil berlalu.
Empat puluh minit kemudian Linda sudah berada di Jalan Silang, kemudian meneruskan perjalanan melalui bulatan Puduraya. Dia memandang ke arah bangunan Puduraya. Suasana di situ jauh sekali perubahan dengan enam belas tahun yang lalu. Dia seakan-akan terkejut melihat pembangunan yang begitu pesat. Sudah lama sekali dia tidak datang ke situ.
Linda mencari tempat untuk meletak kereta. Akhirnya menemui petak kereta kosong. Tidak lama kemudian dia menyusuri jalan menghala ke bangunan puduraya. Matanya memerhati sekeliling. Suasana benar-benar diluar jangkauan fikirannya.
Suatu masa dahulu tempat ini sesak dengan orang ramai. Bukan hanya sesak, tetapi juga kotor. Tetapi kini suasana begitu menyenangkan. Dia berdiri di satu sudut, memerhati sekeliling. Mencari jejak yang hilang. Mencari seseorang yang tak mungkin akan ditemui lagi di situ.
Di mana kau anakku? Bahagiakah hidup kau sekarang? Ibu harap hidup kau bahagia dan gembira. Ibu amat berharap kau tidak menyalahkan ibu kerana meninggalkan kau. Airmata Linda tergenang. Dia cuba menahan airmatanya dari berguguran. Namun gagal. Akhirnya airmata yang telah ditahan sekian lama gugur jua di pipi, semakin lebat hingga seluruh wajahnya basah.
Linda tidak sanggup untuk berada lebih lama di situ. Dia terus mengorak langkah meninggalkan tempat itu, tidak menoleh ke belakang lagi.

“LAPTOP dah dapat. Apa lagi yang awak nak beli?”
“Eh, awak nak terus ikut saya?” tanya Kharlissa hairan dengan sikap Khairul Rasheed.
“Ya la, saya nak temankan awak sepanjang hari ni. Boleh?”
Kharlissa diam dan menggigit bibir. Dia ingin pergi ke suatu tempat, tetapi dia lebih suka pergi seorang diri.
“Awak tak ada girlfriend ke?”
“Hmmm, saya ramai kawan perempuan tapi yang special tak ada,” jawab Khairul Rasheed.
“Saya tak percaya. Awak seorang lelaki yang baik hati, kacak dan menarik. Takkanlah tak teman wanita.”
“Apadia? Cuba ulang sekali lagi kata-kata tadi,” kata Khairul Rasheed sambil tertawa kecil.
“Kenapa saya perlu ulang? Kan awak dah dengar dengan jelas maksud saya.”
“Saya suka dengar awak kata saya baik hati, kacak dan menarik. Sebenarnya saya pun rasa awak seorang yang istimewa dan menarik.”
Wajah Kharlissa merah padam. Dia tidak sedar bahawa dia telah mengungkap pujian yang membuat Khairul Rasheed teruja. Lalu lelaki itu juga mulai memuji dirinya melambung tinggi. Aduh! Apa yang aku dah buat ni? Keluh Kharlissa.
“Biar saya berterus-terang. Saya bukan berniat nak puji awak pun. Saya macam tak percaya awak tak ada kekasih.”
“Saya juga tak percaya awak tak ada kekasih.”
“Siapa kata saya tak ada kekasih?” balas Kharlissa dengan pantas.
Dia tidak ingin Khairul Rasheed menyimpan harapan terhadapnya. Sama seperti dirinya yang tidak ingin menggantung sebarang harapan kepada lelaki itu. Dia tidak inginkan sebarang hubungan akrab biarpun hati meronta-ronta inginkan sebuah ikatan yang suci dan abadi. Namun keadaan tidak akan mengizinkannya sama sekali.
“Jadi, awak ada kekasih di Singapura sana?”
Kharlissa menggigit bibir kemudian berkata, “Tak.Tak ada sesiapa di hati saya. Saya cuma tak selesa bila bersama dengan awak. Tu saja.”
“Kenapa?”
“Saya tak tahu kenapa... Saya tak ada jawapannya,” jawab Kharlissa.
“Okey,” Khairul Rasheed mengangguk cuba untuk mengerti mengapa Kharlissa berperasaan begitu bila bersamanya.
 Biarkan Khairul Rasheed pergi meninggalkannya, bisik hati Kharlissa. Mereka hanya boleh berhubung sebagai kawan. Tidak perlu terlalu rapat.
“Saya pergi dulu. Maaf kalau sikap saya kurang menyenangkan.”
Wajah lelaki disaluti rasa kecewa. Kharlissa diam sahaja, lidahnya kelu. Dia langsung tidak menahan lelaki itu dari berlalu pergi.
Kharlissa meneruskan langkah sendirian, masuk dari satu kedai ke satu kedai. Namun dia sendiri tidak pasti apa yang  mahu dicari.
Biarpun Khairul Rasheed berlalu pergi dari sisi Kharlissa, namun dari kejauhan dia mengawasi  setiap langkah wanita muda itu. Akhirnya sekitar jam dua petang, Kharlissa pulang dengan menaiki teksi setelah membeli beberapa pasang baju baru di Berjaya Times Square. Satu kepuasan baginya setelah berjaya menghabiskan ratusan ringgit untuk baju-baju tersebut.
Kala tiba di hadapan pintu rumah, matanya sempat menjeling ke arah rumah Khairul Rasheed yang bertutup rapat. Dia masih belum pulang. Entah ke mana dia pergi. Kesalkah dia kerana bersikap dingin dengan lelaki itu? Mungkin ada sedikit rasa menyesal... bisik hati Kharlissa sambil memasukkan kunci ke dalam lubang pintu.

DUA MINGGU KEMUDIAN
Setiap hari Kharlissa memerhati ke arah rumah Khairul Rasheed yang sentiasa bertutup rapat. Sejak dua minggu lepas jua lelaki itu tidak pulang-pulang. Ke manakah dia pergi? Mengapa aku tidak pernah nampak dia keluar bekerja ataupun pulang ke rumah meskipun pada lewat malam? Hati Kharlissa sentiasa di penuhi dengan rasa ingin tahu.
Kharlissa masih belum punya pekerjaan. Dia sendiri tidak tahu kerja apakah yang sesuai dengannya. Dia tiada kemahiran lain selain daripada kemahiran menggunakan senjata api. Lalu dia menghabiskan masa dengan melukis. Dia agak berbakat dalam bidang seni lukis. Mulanya dia hanya melukis sketsa bunga kesayangannya, bunga Dandelion. Sesetengah orang menganggap, bunga dandelion adalah satu anugerah cinta yang akan memberi kebahagiaan yang berpanjangan serta janji setia buat selamanya. Namun bagi Kharlissa, bunga Dandelion  bermaksud keindahan yang sementara, apabila musim berganti ia akan menemui kehancuran. Tiada  nilai kasih sayang apabila bunga kuning yang indah itu akan cepat layu, yang akan hilang apabila ditiup angin.
Dari sketsa lukisan pensil, Kharlissa mulai berjinak-jinak dengan kanvas dan warna-warna akrilik. Semakin lama, Kharlissa semakin asyik dengan hobi barunya, mencalit warna di kanvas putih. Namun dia tidak pernah melukis subjek lain selain daripada bunga dandelion.
Suatu pagi semasa dia sedang asyik dengan lukisannya, dia terdengar bunyi gril yang menjerit apabila ditolak. Dia tersentap, spontan matanya memandang ke arah rumah Khairul Rasheed.
Dia dah balik? Ke mana dia menghilang selama dua minggu? Bertugas di luar daerah ataupun sengaja mahu menjauhkan diri. Kharlissa bergegas, menghala ke tingkap hadapan dan mengintai sedikit dari celah langsir.
Khairul Rasheed sedang membuka pintu. Beg pakaian sederhana besar diletakkan di sisi. Dia terus membawa beg pakaiannya masuk ke dalam, menutup pintu serapat-rapatnya tanpa sekilas pun menoleh ke arah rumah Kharlissa. Kharlissa merengus kesal.
Ehhh... kenapa aku pula yang rasa tidak senang? Bukankah baik begitu? Dia telah pun menjauhkan diri. Tugasan menjadi alasan paling logik, fikir Kharlissa.
Kharlissa berjalan longlai menghala ke bilik belakang yang dijadikan studio tempat dia melukis. Dia baru sahaja duduk di kerusi, kemudian terdengar bunyi ketukan di pintu. Dalam kepalanya, sudah melantun nama Khairul Rasheed. Bergegas dia ke pintu dan membukanya dengan agak rakus.
“Kay...” Serunya tanpa sedar, tetapi di luar  bukan Khairul Rasheed.
Seorang anak muda berdiri di hadapan pintu sambil memegang sebuah bungkusan.
“Dari kurier servis. Ada bungkusan untuk Cik Kharlissa Yusuf. Tandatangan di sini,” pintanya sambil menunjuk ke arah tempat yang perlu ditandatangani.
Kharlissa hairan dan tertanya-tanya. Bungkusan itu daripada siapa dan mengapa? Dengan terburu-buru Kharlissa membuka bungkusan itu, terlalu ingin tahu isi di dalam.
Assignment?” Dia meneguk air liur pahit.
Oh my god! Kenapa harus ada assignment lagi apabila aku dah berhenti!” Kharlissa hampir-hampir menjerit seorang diri.
Dia merenung sampul surat coklat di hadapannya. Di atas sampul itu tercatat nama Maxy. Maxy berjaya menjejakinya walaupun ke mana dia pergi.
I don’t believe it! Kau dah janji Maxy! Kau dah janji yang kau benarkan aku berhenti.” Kharlissa bercakap sendiri sambil menggelengkan kepalanya.
Damn you Maxy!















Bab 5

KHARLISSA duduk di tempat yang sama semasa dia ditinggalkan ibunya enam belas tahun lampau. Walaupun suasana di puduraya itu sudah jauh berubah, tapi dia masih ingat tempat dia ditinggalkan.
Ibu! Ibu penipu! Kenapa ibu tak datang semula di sini? Kenapa ibu harus pergi?
Hati Kharlissa terus terusan menyoal. Tiada jawapan pasti. Jawapan itu hanya ada pada ibunya.
“Sayang, tunggu ibu di sini. Ibu sakit perut. Ibu nak pergi tandas. Kejap lagi ibu datang,” kata ibunya sambil mengusap lembut rambutnya.
Kemudian dia mencium pipi Kharlissa dengan lembut. Pergelangan anak itu dipegang lalu dia memasukkan wang sebanyak sepuluh ringgit di dalam genggaman.
“Simpan duit ni! Ibu pergi kejap je...” kata ibunya lalu terus tergocoh-gocoh berlalu.
Dia hanya memerhati hingga ibunya hilang dalam pusuan orang ramai.
Kharlissa membuka cermin matanya. Dia menyeka airmata yang mengalir perlahan dengan sehelai tissu. Kemudian pantas mengenakan kaca mata hitam semula. Dia memandang jauh. Semua wajah asing. Tiada lelaki yang dicintainya dicelah-celah orang ramai. Tiba-tiba ada rasa rindu mengusik hatinya. Sudah beberapa minggu Khairul Rasheed pulang namun mereka belum punya kesempatan untuk bertemu.
“Cik adik! Cik adik perlukan teman?” Tegur seorang lelaki pertengahan usia. Misai tebalnya terangkat. Dia tersengih mempamer gigi.
Get out of here,” balas Kharlissa separuh berbisik.
Dia memandang jijik pada lelaki yang duduk di sisinya.
Lelaki itu tidak peduli. Dia duduk kian rapat dengan Kharlissa. Matanya menjeling ke arah dada wanita muda itu, yang dibaluti baju panas sendat berwarna pink. Mata nakal itu turun ke bawah, ke arah pahanya yang dibaluti seluar jean hitam ketat. Akhirnya mata itu jatuh pada kasut but kulit coklat yang nampak mahal sekali. Dimiliki bukan sebarang orang melainkan orang yang berduit dan suka bermewah-mewah.
“Wow! Hot... seksi!” Katanya sambil tersengih lagi.
“Aku cungkil mata kalau kau pandang aku macam tu lagi!”
“Huh! Singa betina rupanya!” kata lelaki itu sambil bangun, bergerak lambat meninggalkan Kharlissa namun dia masih memandangnya dari jauh.
Kharlissa tidak peduli. Dia bangun, bergerak meninggalkan terminal itu. Kharlissa pulang dengan menaiki tren. Sebaik tiba di rumah dia terus membuka laptop. Menaip di laptop perkataan ‘I hate you, mom’ hingga beribu-ribu ayat. Hingga memenuhi ruang laptopnya. Dia penat. Dia hanya ingin tidur dan melupakan ibunya. Rasa benci dan rindu tindih menindih mendera perasaan. Dia ingin bebas dari rasa tertekan itu dengan segera. Lalu rasa rindu segera mengatasi rasa benci yang beramukan dalam dada. Kharlissa menangis lagi. Airmatanya begitu murah sekali sekarang.
Kian lama esakannya kian kuat. Dia meraung, tidak peduli dan tidak kisah jika raungan itu didengari orang lain.
Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu rumah. Kharlissa terkejut. Dia memerhati sekeliling, tangisan terhenti secara automatik. Dia berjalan lambat menghala ke pintu, membiarkan wajah yang basah dengan airmata. Dia tidak peduli jika ada yang melihat  matanya yang merah dan bengkak.
Pintu dikuak. Dia terkejut, Khairul Rasheed berdiri di luar. Wajahnya tampak berkerut, hairan.
“Awak tak apa-apa ke?”
Kharlissa tidak menjawab. Hatinya terlalu sedih hingga suaranya hampir tidak terluah. Rasa ingin peluk sahaja tubuh Khairul Rasheed, ingin membenam duka di dada bidang lelaki itu. Tapi itu semua khayalan Kharlissa sahaja. Tubuhnya kaku seperti patung.
“Saya dengar awak meraung. Apa dah jadi?”
Apa yang harus dijawab? Kharlissa bingung. Airmata kembali menuruni pipi.
“Kenapa ni?” Khairul Rasheed memegang kedua-dua belah bahu Kharlissa dan menggoncangnya perlahan.
Kharlissa menangis seperti kehilangan seseorang, fikir Khairul Rasheed. Apakah dia kehilangan satu-satunya waris terdekat? Mungkin.
“Saya... errr... mak saudara saya meninggal!” Akhirnya Kharlissa mendapat ilham untuk membohongi Khairul Rasheed.
Lelaki itu mengerut dahi. Tidak percaya. Masakan kerana kematian mak saudaranya, dia akan meraung sebegitu rupa. Kebetulan ketika itu, Khairul Rasheed berada di hadapan rumah. Dia berniat ingin keluar makan kala terdengar Kharlissa meraung. Raungan yang sungguh pilu. Kepiluan itu dapat dirasai Khairul Rasheed.
“Awak nak pergi melawatnya? Saya boleh tolong hantarkan kalau awak sudi.”
Kharlissa menggeleng.
“Tak mengapa. Saya terlewat mengetahuinya. Saya baru berchatting dengan cousin saya di facebook. Dia meninggal tiga hari lepas.” Pembohongan demi pembohongan terpaksa direka.
Khairul Rasheed mengangguk.
“Saya nak pergi makan. Awak nak pesan apa-apa?”
“Hmmm... boleh saya ikut awak? Saya lapar. Saya tak sarapan pagi tadi,” kata Kharlissa sambil memegang perutnya.
“Apa salahnya. Jom.”
“Tunggu saya cuci muka dan letak make-up sikit. Muka saya teruk, mata pulak dah bengkak.”
“Okey, saya tunggu awak kat bawah.”
Khairul Rasheed terus bergerak menghala ke lif. Dia menunggu Kharlissa turun.
Kharlissa pura-pura ceria sepanjang bersama dengan Khairul Rasheed. Mereka makan tengahari di Restoran Hasan Sup di Jalan Pahang. Restoran itu terletak di belakang Masjid Setapak.
Amat sedikit sekali Kharlissa makan. Sup ekor yang panas dan enak tidak mampu menjulang seleranya. Fikirannya berkecamuk memikir assignment yang diberikan oleh Maxy. Bait tulisan di surat yang dititipkan Maxy masih diingatnya dengan jelas.
Carra, kau adalah pembunuh upahan terbaik. Aku percayakan kau. Aku tak boleh serahkan tugasan ini pada orang lain. Aku tak suka kegagalan. Aku tahu kau takkan hampakan aku kerana kau seperti anakku. Tentu kau tak mahu kecewakan bapamu bukan? - Maxy
Kharlissa tidak boleh meninggalkan nama Carra lantaran dia telah terhutang budi pada Maxy. Tanpa Maxy mungkin dia sudah pun mati. Dia tidak mungkin dapat mengelilingi hampir separuh dari dunia ini jika bukan kerana Maxy. Dia akan sentiasa menjadi Carra yang kejam walaupun di saat yang sama dia ingin menjadi Kharlissa yang penyayang. Kharlissa yang sudah mulai jatuh cinta...
Kharlissa mengeluh dengan agak kuat, menolak mangkuk sup yang baru luak separuh ke tepi.
Dia terbayang raut wajah lelaki yang bakal dibunuh. Gambarnya telah pun diterima Kharlissa, dikirim Maxy dari destinasi yang tidak diketahui. Wajah lelak itu bermain dalam mindanya kini, tindih menindih dengan wajah Martin.
Selera Kharlissa semakin hilang. Dia meneguk minuman hingga tinggal separuh gelas. Gelas itu terasa begitu besar dan isinya masih banyak sedangkan perut Kharlissa terasa penuh dan dia hampir-hampir termuntah. Dia memerhati Khairul Rasheed yang berselera sekali menghirup sup dan nasi putih.
“Dah lama saya nak tanya, awak kerja apa Kay?”
Khairul Rasheed berhenti menghirup sup. Dia memandang wajah Kharlissa kemudian tersenyum.
“Saya dalam bidang pemasaran,” jawab Khairul Rasheed.
Dia memang sudah menyediakan jawapan itu sejak mula, sekiranya Kharlissa bertanya. Bidang pemasaran jawapan termudah dan dia tidak perlu menjawab soalan-soalan lain. Bidang yang memaksa seseorang bergerak aktif ke mana sahaja yang diarahkan syarikat. Kerja tidak tentu masa.
Kharlissa mengangguk lambat. Dia tidak akan bertanya lagi.
“Awak?” Khairul Rasheed memulangkan pertanyaan.
“Macam yang awak tengok, saya masih lagi seorang penganggur. Penganggur terhormat,” jawab Kharlissa.
Khairul Rasheed ketawa.
“Saya tak percaya,” katanya seperti mencabar.
“Mesti awak ada kerja yang hebat sebelum ni. Beritahu saya, awak kerja apa semasa duduk di Singapura.”
“Dulu saya seorang penari. Lepas tu saya jadi guru tarian di sebuah sekolah ballet,” kata Kharlissa berbohong.
Perhubungan mereka penuh dengan pembohongan. Kharlissa dapat merasakan bahawa dia semakin bosan terpaksa membohongi Khairul Rasheed. Dia percaya lelaki itu tidak akan mengujinya dengan menyuruh dia menari ballet. Dia langsung tidak pandai.
“Hebat! Seorang penari ballet. Saya tak pernah terfikir pun awak sebagai seorang penari ballet. Pernah buat persembahan?”
“Dah tentu. Agak jauh juga saya telah mengembangkan sayap. Eropah, Cina dan Jepun,” kata Kharlissa dengan yakin.
Sebenarnya dia ke sana bukan sebagai seorang penari tetapi sebagai pembunuh upahan.
“Saya juga sudah pergi ke negara yang awak sebutkan tu,” balas Khairul Rasheed.
“Membawa produk syarikat tentunya?” teka Kharlissa.
“Sebenarnya saya menjual sistem komputer,” Khairul Rasheed mengerdipkan matanya beberapa kali.
Tidak selesa apabila berbohong begitu. Dia pergi keluar negara kerana tugas untuk negara. Tetapi dia tidak boleh mengkhabarkan hal itu kepada sesiapa, hatta kalau dia beristeri sekali pun. Ianya adalah satu rahsia besar. Hampir dua tahun  sudah dia menyertai unit PGK. PGK biasanya menjalani latihan bersama dengan unit seperti Rejimen Perkhidmatan Khas Australia, British SAS dan FBI, khususnya dalam menangani kes penculikan, rompakan dan penempak tepat (sniper). Memang Khairul Rasheed amat terlatih dalam bidang ini.
Sebagai anggota polis dalam unit khas ini dia  memang terikat dengan tugas. Dia harus sentiasa bersedia untuk menghadapi tugas pada bila-bila masa. Tidak kira siang atau malam, apabila dipanggil bertugas oleh Ketua Pengarah, hal-hal peribadi akan ditolak ke tepi. Dia tidak pulang  ke rumah dalam tempoh yang lama apabila melaksanakan sesuatu misi. Kemudian dia akan mendapat cuti panjang. Hal itu amat adil bagi Khairul Rasheed dan dia sangat menyenangi malah mencintai setengah mati kerjayanya.
“Malam minggu ni ada kawan saya yang sambut majlis hari lahir. Kalau sudi, saya nak ajak awak temankan saya. Macamana? Sudi tak?” dia sengaja menukar haluan perbualan.
“Hmmm, entahlah...” balas Kharlissa teragak-agak untuk menerima pelawaan itu.
Tak payah fikir-fikir Kharlissa. Pergi saja! Ni peluang kau untuk kenal dia. Kau boleh kenal dia melalui teman rapatnya. Kau akan boleh mengagak siapakah dia dengan mengenali orang-orang yang didampingi lelaki itu. Mungkin tanpa sengaja teman-temannya akan berbicara tentang kerjaya, keluarga atau sesuatu yang bersifat peribadi. Maklumat pasti akan diperolehi kalau dia memainkan watak mesra, ramah dan baik hati, bisik Kharlissa sendiri di dalam hati.
Aku yakin dia berbohong tentang pekerjaannya. Beberapa kali dia mengerdipkan mata, seperti tidak selesa. Dia sedang berbohong. Ada sesuatu yang sedang disembunyikannya. Dia bukan seorang pegawai pemasaran yang biasa. Aku yakin! Kharlissa menggenggam tangannya sendiri dengan kuat.
Kharlissa sengaja menyentuh gelas dengan  hujung siku. Pantas dan cekap Khairul Rasheed menangkap gelas itu agar isinya tidak tertumpah. Dia mengalihkan gelas itu di tempat yang selamat, supaya tidak  tersentuh lagi.
Tangannya sangat tangkas. Dan dia bertindak tanpa teragak-agak, tepat pada masanya, bisik hati Kharlissa lagi.
“Okey, saya harap sangat awak akan setuju. Saya yakin awak akan enjoy.”
“Hmmm, baiklah saya ikut awak pergi majlis tu. Saya pun tak buat apa-apa malam minggu nanti.”
Khairul Rasheed tersenyum lebar mendengar kata-kata Kharlissa.
Macam tulah! That my girl! Ucap Khairul Rasheed di dalam hati. Dia gembira, benar-benar bahagia dapat bersama dengan Kharlissa ke parti harijadi salah seorang teman baiknya.

“NI kawan baik saya, Doktor Razin,” Khairul Rasheed memperkenalkan Kharlissa dengan tuan rumah.
Mereka baru tiba di rumah banglo pasangan doktor tersebut bagi meraikan majlis hari lahir. Doktor Razin dan isterinya Doktor Najwa berdiri di hadapan pintu utama rumah banglo, menyambut kehadiran tetamu.
“Kharlissa,” Kharlissa menyebut namanya sambil bersalaman dengan Doktor Razin dan isterinya.
“Wow, bukan senang nak tengok Kay bawa pasangan ke majlis. Selalu tu datang tak pernah berteman,” komen Doktor Razin sambil tertawa kecil.
Matanya tidak lepas dari memandang wajah Kharlissa yang bersolek cantik. Kharlissa mengenakan gaun hitam mengikut bentuk tubuhnya yang langsing. Gaun hitam kosong itu dihiasi hanya dengan sedikit sulaman di bahagian dada. Bahunya terdedah, disapa angin malam. Leher jinjang Kharlissa dihiasi kalung berlian yang berkilau. Terpukau setiap mata yang memandang. Betapa elegen penampilan Kharlissa malam itu.
Khairul Rasheed hanya ketawa.
Someone special?” separuh berbisik Doktor Razin bertanya.
Pertanyaan itu singgah jua ke telinga Kharlissa. Dia pura-pura tidak mendengar apa-apa. Namun hatinya agak senang. Ini membuktikan bahawa Khairul Rasheed memang benar-benar tiada kekasih.
“Kawan je lah!” Balas Khairul Rasheed perlahan.
Dia terus bergerak masuk. Kharlissa turut berjalan di sisinya menuju ke ruang tamu yang luas. Sudah ramai orang berada di ruang itu. Kelihatan mereka berbual sesama sendiri sambil menikmati hidangan yang disediakan secara buffet.
Kebanyakan tetamu yang ada menegur Khairul Rasheed dengan ramah dan mesra. Jelas mereka saling mengenali. Jemputan yang hadir kebanyakannya adalah teman-teman rapat pasangan Doktor Razin dan Doktor Najwa.
Majlis berlangsung meriah. Acara makan-makan baru bermula. Khairul Rasheed mengajak Kharlissa mengambil makanan. Kebanyakan makanan yang tersaji begitu enak, menambat selera.
Semasa sedang mengambil hidangan nasi beriani, seorang lelaki mendekati Khairul Rasheed. Kharlissa memerhati wajah lelaki itu. Dahinya berkerut. Di mana aku pernah lihat muka dia? Macam aku kenal saja lelaki ni... fikir Kharlissa berlarutan.
“Apa khabar Kay?”
“Baik, Alhamdulillah Dato’,” balas Khairul Rasheed.
“Hari tu I ada nampak you kat airport. Travel ke mana? Nak tegur tak sempat sebab you nampak macam kena dek kejar hantu! Laju je berjalan.”
Khairul Rasheed tertawa.
“I bukan bercuti tapi kerja.”
Outstation?”
Khairul Rasheed sekadar mengangguk, tidak suka bercerita tentang tugas di dalam majlis seumpama itu. Apalagi di sisinya ada Kharlissa. Dia berharap lelaki itu berbual setakat itu sahaja. Bukan semua orang tahu tentang tugasnya. Dia memberitahu setiap orang dan kenalan dia bekerja di bahagian pemasaran. Hanya ibubapa dan kakaknya sahaja yang tahu kerjaya sebenar Khairul Rasheed.
Suatu masa dahulu, semasa bapanya masih muda seusia Khairul Rasheed, dia juga bertugas dalam bidang ketenteraman awam. Namun Dato’ Salihin sudah lama bersara dan terlibat dalam bidang perniagaan pula.
Mata Dato’ Emmer beralih pula ke arah Kharlissa di sisi Khairul Rasheed. Lelaki itu tersenyum memandang dan berkata; “Nampaknya you dah ada teman istimewa?”
Lantaran dia jarang ke parti dengan gadis, kebanyakan orang menyangka Kharlissa teman istimewa Khairul Rasheed. Memang Khairul Rasheed berharap hal itu akan menjadi nyata. Suatu hari nanti pasti Kharlissa menjadi seseorang yang istimewa dalam hidupnya.
“Tak. Kami kawan saja. Kenalkan ini Kharlissa.”
Dato’ Emmer menghulur tangannya ke arah Kharlissa.
“Hello,” sapanya sambil tersenyum.
Kharlissa membalas senyumannya dan tangan mereka bertaut. Perkenalan singkat itu berakhir dengan cepat apabila lelaki itu meminta diri.
“Siapa dia?” Kharlissa berbisik bertanya Khairul Rasheed.
 “Dato’ Emmer.”
“Entah kenapa saya rasa macam pernah nampak dia.”
“Di mana?”
“Entahlah. Di tv ataupun surat khabar agaknya. Dia orang yang terkenal?”
Dia belum dapat mengingat di manakah dia melihat wajah itu. Namun wajah itu seperti dikenalinya. Dia memerhati lelaki itu dari jauh sedang leka berbual-bual. Kharlissa cuba memamah makanan perlahan-lahan sambil otaknya terus bekerja.
Ya Tuhan! Aku dah ingat siapa dia! Wajah Kharlissa pucat sejenak dan dia hampir-hampir menumpahkan makanan di dalam pinggan.